4,000 orang asli di Pahang terima vaksin CanSino

 4,000 orang asli di Pahang terima vaksin CanSino

Penduduk orang asli Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau sebelum ini menerima vaksinasi di bawah Program Outreach Vaksinasi (POV) COVID-19.

KUANTAN, 13 Sept — Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang menyambut baik pemberian vaksin satu dos CanSino kepada masyarakat orang asli yang berada di kawasan pendalaman negeri ini.

Pengarahnya, Johari Alwi berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membekalkan secara berperingkat sebanyak 4,000 dos vaksin jenis berkenaan kepada negeri ini dan semuanya diberikan orang asli.

Menurutnya, masyarakat orang asli dianggap bertuah apabila menjadi perintis kepada penggunaan vaksin satu dos CanSino yang lebih mudah buat mereka kerana hanya sekali suntikan berbanding vaksin jenis lain memerlukan dua suntikan.

Katanya, fasa pertama sebanyak 1,600 dos disediakan kepada kepada penduduk orang asli di tiga penempatan membabitkan Pos Lenjang, Pos Titom dan Pos Sinderut, Lipis. Selebihnya akan diterima tidak lama lagi.

“Kini seramai kira-kira 34,198 individu orang asli berumur 18 tahun keatas sudah lengkap menerima dua dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech, dan Sinovac. Seramai 19,885 menerima satu dos dan 18,516 masih belum menerima vaksin.

“Menerusi Program Outreach Vaksinasi (POV) COVID-19 bermula 16 Jun lalu yang berkonsepkan perkhidmatan sampai ke kawasan pedalaman, sambutan masyarakat orang asli terhadap suntikan vaksin COVID-19 begitu menggalakkan. Perasaan takut yang sebelum ini begitu menebal kini begitu pantas terhakis,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, program pemberian vaksin satu dos CanSino kepada masyarakat orang asli di Pos Lenjang, Pos Titom dan Pos Sinderut bermula hari ini. Esok Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail akan meninjau program berkenaan.

Johari berkata, JAKOA masih menunggu keputusan KKM berhubung pemberian vaksin bagi kanak-kanak orang asli berumur 12 tahun ke atas, sekiranya sesuai diberikan kepada golongan terbabit lebih banyak vaksin satu dos CanSino diperlukan.

Katanya, kesedaran yang semakin bertambah dalam kalangan masyarakat orang asli terhadap pentingnya mereka mendapatkan vaksin COVID-19 suatu yang membanggakan selepas pelbagai usaha dilakukan pihaknya dengan kerjasama KKM.

“Dengan adanya vaksin satu dos CanSino saya yakin lebih ramai orang asli terutama di kawasan pendalaman negeri ini secara suka rela dapat menerima vaksinasi menerusi program pemberian vaksin yang diadakan.

“Vaksin terbabit juga turut memberi kemudahan kepada warga emas serta mereka yang terlantar sakit di rumah kerana mereka hanya perlu menunggu jururawat datang ke rumah untuk memberi vaksin.

“Di negeri ini terdapat kira-kira 54,000 masyarakat orang asli yang layak untuk menerima suntikan vaksin COVID-19, namun sambutan yang diterima sebelum ini amat rendah disebabkan pengaruh cerita yang tidak benar disebarkan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya yang akan terus berusaha menarik lebih ramai lagi orang asli untuk menerima vaksin secara sukarela.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  13  =  17