4 PST FAMA catat jualan lebih RM408,000

 4 PST FAMA catat jualan lebih RM408,000

Aktiviti jualan secara pandu lalu di Pasar Segar Terkawal (PST) Pejabat FAMA Pahang. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

KUANTAN, 16 Jun – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang mencatat jualan lebih RM408,120 di empat Pasar Segar Terkawal (PST) yang diadakan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Program jualan selama dua minggu bermula 1 Jun lalu menggunakan sistem padu lalu menawarkan harga lima hingga 20 peratus lebih murah pelbagai hasil pertanian, ternakan dan ikan air tawar.

Pengarahnya Noh Nik Wan berkata, empat PST di negeri ini membabitkan PST Pejabat FAMA Pahang di Batu Lima, PST Jerantut, PST Pekan dan PST Chini.PST Bera hanya dikhususkan untuk jualan secara borong sahaja.

Pengurus Pusat Khidmat Pemasaran FAMA Kuantan, Faris Abdullah (kiri) memilih buah nangka J33 yang terdapat di Pasar Segar Terkawal (PST) Pejabat FAMA Pahang. Foto WMY/Mohd Fikri Mie.

Menurutnya, sejak dibuka seramai 2,400 pengguna berkunjung ke PST bagi mendapatkan pelbagai barangan keperluan, mereka datang menggunakan 715 kenderaan yang lalu dihadapan setiap gerai jualan disediakan.

Katanya, PST Jerantut meraih jualan tertinggi dengan jumlah sebanyak RM145,390 diikuti PST Pejabat FAMA Pahang (RM127,340), PST Chini (RM60,410), PST Bera (RM42,180) dan PST Pekan (RM32,800).

“Seramai 115 peniaga berniaga disemua empat PST di negeri ini, mereka menjual pelbagai barangan segar seperti sayuran, buah-buahan, daging segar dan ikan.Turut dipasarkan pelbagai barangan dapur dan makanan segera produk keluaran Agromas yang mendapat permintaan menggalakan.

Aktiviti jualan secara pandu lalu di Pasar Segar Terkawal (PST) Pejabat FAMA Pahang. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

“Agensi lain turut terbabit memasarkan produk keluaran mereka di PST Pejabat FAMA Pahang ialah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menjual pelbagai ikan laut dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuantan menjual beras,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, FAMA memasarkan pelbagai produk segar tempatan seperti nangka J33, nanas madu, pisang, jagung madu dan labu manis pada harga lebih murah berbanding di pasaraya.

Noh berkata, pihaknya akan terus mengadakan program jualan PST sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berakhir pada 28 Jun akan datang namun sekiranya ada permintaan aktiviti berkenaan akan diteruskan.

“Jualan bermula lapan pagi hingga 12 tengahari itu menggunakan sistem padu lalu, pengguna tidak perlu turun daripada kenderaan masing-masing untuk memilih barangan yang diinginkan.

“Semua dibantu oleh kakitangan FAMA yang bertugas, mudah serta cepat dan lebih penting barangan segar serta harga murah,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

2  +  1  =