• Wednesday, 16 June 2021, 7:09 am

4 maut dilanggar lori kerana Islamophobia

 4 maut dilanggar lori kerana Islamophobia

KANADA, 8 Jun. – Empat anggota keluarga Muslim maut manakala seorang parah apabila dilanggar sebuah trak pikap dalam serangan yang ‘dirancang’, menurut polis Kanada.

Memetik dari laporan BBC, serangan di bandar London, wilayah Ontario itu meragut dua wanita berusia 74 dan 44 tahun, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, dan seorang lelaki berusia 46 tahun.

Seorang budak lelaki berusia sembilan tahun, satu-satunya keluarga yang masih hidup, berada di hospital dengan kecederaan parah.

Serangan berkenaan adalah yang terburuk terhadap Muslim di negara itu sejak enam orang terbunuh di sebuah Masjid Kota Quebec pada tahun 2017.

Polis Kanada berkata kes ini berkemungkinan akan disiasat sebagai jenayah kebencian, sambil menambah kemungkinan ada unsur serangan pengganas.

Pihak polis berjaya menangkap seorang warga tempatan, Nathanial Veltman, 20, yang ditangkap di sebuah pusat membeli-belah kira-kira 6km dari tempat kejadian. Beliau akan didakwa dengan empat tuduhan pembunuhan dan satu tuduhan cubaan membunuh.

Sementara itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata beliau merasa ngeri apabila mendengar berita itu.

“Kepada keluarga mangsa jenayah kebencian semalam, kami ada di sini untuk anda. Kami juga ada di sini untuk kanak-kanak yang masih berada di hospital – anda sentiasa berada di fikiran kami,” katanya menerusi satu ciapan di Twitter.

Pada Januari 2017, seorang lelaki Kanada menembak mati enam jamaah di Pusat Kebudayaan Islam Quebec, dan mencederakan lima yang lain. Pelaku berkenaan kini dihukum penjara seumur hidup.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *