Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
4 lelaki ditahan terlibat pergaduhan

Oleh Nurman Nasyriq
KULAI, 19 Mei – Polis menahan empat lelaki kerana terlibat dalam pergaduhan di Jalan Kekwa, Taman Sri Kulai Baru, di sini kelmarin.

Pergaduhan itu dimaklumkan seorang lelaki kepada Balai Polis Kulai pada jam 1.25 pagi.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, bertindak atas maklumat Team Lejang/Pintu Balai Polis Kulai pergi ke Jalan Kenanga 29/8, Indahpura pada jam 11.45 pagi semalam dan memberkas empat suspek.
“Suspek berusia antara 17 hingga 37 tahun kemudian dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk tindakan lanjut.
“Dalam pergaduhan itu dua mangsa menerima jahitan di kepala. Hasil soal siasat keempat-empat suspek mengaku terlibat dalam pergaduhan itu. Siasatan lanjut masih dijalankan berkenaan punca pergaduhan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Difahamkan mangsa yang luka dipukul menggunakan sebatang kayu golf.
Pihak polis masih mengesan suspek yang masih bebas dipercayai terlibat dalam pergaduhan tersebut.
Beng Yeow memberitahu, suspek direman empat hari bermula hari ini selepas mendapat kebenaran Majistret Sharifah Maleeha Syed Husin.
Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.