366 penyu agar mendarat di PKPP Cherating

 366 penyu agar mendarat di PKPP Cherating

Program melepas anak penyu diadakan di Pulau Tulai, Pulau Tioman.

KUANTAN, 6 November – Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating, dekat sini, mencatat pendaratan 366 penyu jenis agar yang menghasilkan sebanyak 30,454 telur, dalam tempuh sembilan bulan tahun ini.


Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata,daripada jumlah itu sebanyak 21,563 telur berjaya ditetaskan di pusat penetasan khas sebelum dilepaskan ke laut secara berperingkat.


Beliau berkata, jumlah pendaratan penyu tertinggi dalam tempoh 10 tahun dicatat pada tahun 2016, iaitu 592 dengan menghasilkan 53,112 telur dan sebanyak 31,652 berjaya ditetaskan mengikut jadual.Pada 2013 sebanyak 516 pendaratan yang menghasilkan 43,720 telur dan 31,612 ditetaskan.Katanya, jumlah pendaratan penyu setiap tahun di PKPP Cherating tidak menentu disebabkan beberapa faktor seperti keadaan laut, ancaman daripada nelayan dan faktor semula jadi.


“Aktiviti pelepasan anak penyu oleh pelancong dan murid sekolah lebih banyak dapat diadakan sekiranya jumlah penyu jenis agar yang mendarat di PKPP bertambah dan menghasilkan banyak telur setiap tahun.


“Kami berharap aktiviti pelepasan anak penyu yang diadakan setiap tahun di PKPP Cherating dapat menambahkan jumlah pendaratan penyu agar dan karah pada masa akan datang,” katanya, di sini, hari ini.


Abdullah berkata, PKPP Cherating ditutup sebelum ini disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kerja menaik taraf tempat berkenaan, PKPP Cherating akan dibuka kepada pelancong bermula minggu depan.


Menurutnya, keistimewaan diberikan kepada pelancong yang berkunjung ke PKPP Cherating ialah mereka berpeluang melepaskan anak penyu ke laut bermula enam petang, turut terdapat di situ pameran penyu dewasa di kolam dan replika hidupan laut.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *