35 notis dikeluarkan terhadap peniaga sayur

 35 notis dikeluarkan terhadap peniaga sayur

Pegawai KPDNHEP Johor melakukan pemeriksaan harga di premis milik seorang pembekal sayur-sayuran di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Sebanyak 35 notis dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor terhadap peniaga dan pembekal sayur kerana dikesan menaikkan harga.

Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, notis tersebut dikeluarkan antara 20 November hingga semalam di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan itu (AKHAP) 2011.

“Notis ini juga dikeluarkan bagi membolehkan siasatan dibuat susulan daripada pemeriksaan atas aduan awam yang mendakwa berlakunya kenaikan harga barangan harian itu sehingga 50 hingga 100 peratus.

“Pemeriksaan dilakukan menerusi Op Pasar ini menyasarkan peniaga sayur di peringkat pemborong dan pengeluar di sekitar kawasan Johor Bahru, Taman Ungku Tun Aminah (Tuta), Skudai dan Ulu Tiram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam operasi itu, pihaknya juga mengeluarkan notis ke atas 21 peruncit, 11 pemborong dan tiga pekebun atau peladang yang didapati menjual sayur-sayuran dengan harga lebih tinggi.

Mohd. Hairul berkata, jumlah itu juga secara keseluruhannya menjadikan sebanyak 83 notis telah dikeluarkan ke atas peniaga sayur yang disyaki menaikkan harga barangan lebih tinggi sejak Januari lalu.

“Kesemua mereka yang dikenakan notis ini terdiri daripada peniaga menjual sayur seperti tomato, lobak, kubis bulat dan cili merah yang kita akan siasat untuk mendapatkan maklumat dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

“Berdasarkan rekod, sebanyak 7,603 premis telah diperiksa meliputi 5,954 peruncit, 1,198 pemborong dan 451 pengilang di seluruh daerah di negeri ini semenjak 8 Oktober 2021, iaitu dari tempoh peralihan Johor kepada Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Beliau berkata, usaha mengesan aktiviti menaikkan harga barangan itu juga akan terus diperkasa selain memohon kerjasama orang awam untuk sentiasa melaporkan sebarang maklumat.

“Untuk pemantauan ini, KPDNHEP Johor juga telah menggerakkan seramai 200 anggota penguat kuasa untuk menjalankan pemeriksaan serta pemantauan di setiap peringkat pembekalan barangan.

“Ini juga termasuk di premis peruncit (pasar basah, pasar awam dan pasar raya), pembekal (pemborong dan peladang), pengeluar dan pengimport bagi memastikan tindakan diambil sekiranya terdapat rungutan orang ramai berkaitan kenaikan harga barang semakin meruncing,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

79  +    =  80