34 regu rebut Piala Perdana Menteri

 34 regu rebut Piala Perdana Menteri

CAMERON HIGHLANDS, 23 Januari 2022 – Sebanyak 34 regu yang mewakili setiap daerah termasuk tiga regu Sukan Malaysia (Sukma) Pahang akan bersaing dalam Liga Sepak Takraw Pahang (LSTP) anjuran Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang (PSTNP) yang diadakan secara lima sirkit.

Hanya 24 regu terbaik sahaja akan berpeluang beraksi pada sirkit akhir merebut Piala Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Ketua Umno Bahgaian Bera yang diadakan pada Jun.

Timbalan Presiden PSTNP Datuk Abu Jimi Samat (tiga dari kiri) menyerahkan cenderahati kepada Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor pada Majlis Perasmian Liga Sepak Takraw Pahang di Cameron Highlands.

Pengerusi jawatankuasa kejohanan Nara Nordin berkata, sirkit pertama bermula hari ini menyaksikan Cameron Highlands sebagai tuan rumah.

Saingan pembuka tirai itu bagi merebut Piala Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Ketua Umno Cameron Highlands.

Menurutnya, johan sirkit pertama membawa pulang hadiah RM1,500 dan piala pusingan Menteri Besar Pahang, naib johan RM1,000, ketiga RM500 dan keempat RM400.

Katanya, sirkit kedua akan diadakan bulan depan di Maran, sirkit ketiga pada awal Mei di Temerloh, sirkit keempat pada akhir Mei di Lipis dan sirkit terakhir dan kemuncak pertandingan berkenaan pada awal Jun di Bera.

“Pertandingan yang julung kali diadakan itu menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM16,000 dan piala pusingan disumbangkan oleh Ketua Umno Bera, Cameron Highlands, Maran, Temerloh dan Lipis.

“Tujuan utama LSTP diadakan bertujuan untuk mempopulakan semula sukan sepak takraw diperingkat daerah dan negeri seterusnya mengcungkil bakat muda,” katanya yang juga Naib Presiden II PSTNP.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian LSTP disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, di sini semalam.

Hadir sama Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor dan Timbalan Presiden PSTNP Datuk Abu Jimi Samat.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

52  −  46  =