Vaksinasi COVID-19 kunci negara bingkas semula

 Vaksinasi COVID-19 kunci negara bingkas semula

Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz: Program vaksinasi sebagai antara rancangan besar yang akan menjadi faktor utama bagi memacu pertumbuhan negara pada 2021

Oleh Mohd Kamal Ahmad

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin menyatakan, kes penularan COVID-19 global menurun sehingga 16 peratus. Ini antara lain mungkin kesan peningkatan kecekapan bagi kebanyakan negara mengurus pandemik maut itu. Beberapa negara juga telahpun memulakan program vaksinasi nasional. Program itu menjadi antara harapan bagi memacu semula ekonomi global selain meningkatkan pertahanan keselamatan kesihatan warga dunia dan meminimumkan kadar kematian.

Di Malaysia, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz turut mengklasifikasikan program vaksinasi sebagai antara rancangan besar yang akan menjadi faktor utama bagi memacu pertumbuhan negara pada 2021.  Menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang menelan kos RM2.05 bilion itu, Malaysia telah mendapat akses vaksin bagi 82% penduduk Malaysia sehingga suku pertama 2022.

Program vaksinasi ini adalah sebahagian daripada rancangan besar negara bagi pemulihan ekonomi kita dan ditegaskan oleh Zafrul sudah berada di atas landasan betul dengan mengambil kira pelbagai petunjuk ekonomi serta rancangan besar lain.

Impak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan itu turut mendapat maklum balas Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Islam Malaysia Berhad yang berkata, ia adalah perkara terpenting kerana dengan vaksinasi ini, ia boleh menyebabkan proses pembukaan ekonomi berlaku dengan lebih meluas di samping dapat menyuntik keyakinan yang tinggi di kalangan peniaga, pelabur dan rakyat secara amnya.

Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

“Dengan itu, proses pemulihan ekonomi boleh berlaku dengan lancar disebabkan operasi perniagaan yang beransur kembali normal,” katanya kepada Wacana.my bagi mengulas sejauh mana impak program vaksinasi mampu memacu pertumbuhan negara pada 2021.

Mengupas sari pati ucaptama pada Forum Bursa Malaysia dengan tema “Menang Semula: Membangun Semula Ekonomi Malaysia Bersama”, Zafrul merumuskan rancangan besar kerajaan itu dalam ‘tiga bahagian’. Selain program bahagian pertama yang melibatkan program vaksinasi nasional, bahagian selainnya ialah rancangan besar yang dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Belanjawan 2022.

“Melalui dua rancangan dan peruntukan ini, kerajaan juga akan melihat pelbagai penyelesaian struktur dan antara kementerian seperti memperbaiki dasar modal insan, membina keupayaan untuk melaksanakan peralihan menjadi negara berpendapatan tinggi, serta melihat semula ekonomi dari lensa alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi mencapai Visi Kemakmuran Bersama kita.

“Kita juga akan memperkukuhkan asas pendapatan kita dan mewujudkan ekosistem yang mampan untuk keusahawanan dan inovasi,” kata Zafrul ketika merumuskan ucaptamanya pada forum tersebut.

Untuk bahagian ketiga dalam rancangan besar membangunkan semula ekonomi Malaysia, beliau berkata kerajaan turut merumuskan strategi pelaburan nasional untuk menarik pelabur dan pemodal berkualiti tinggi yang akan dapat meningkatkan kapasiti produktif kita, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, mempromosikan pemindahan teknologi serta mengeratkan lagi hubungan domestik.

Zafrul menegaskan, kerajaan mempunyai kesungguhan dan Kementerian Kewangan akan berusaha sebaik mungkin untuk menyediakan sumber untuk merealisasikan semua itu. Namun kerajaan tidak boleh melakukan perkara ini bersendirian tetapi memerlukan komuniti perniagaan untuk menyertai kami dalam mengharungi perjalanan ini.

“Harap semua pemegang kepentingan (stakeholder) akan memainkan peranan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Afzanizam turut diminta mengulas pencapaian empat pakej rangsangan ekonomi yang dilancarkan pada 2020 untuk memulihkan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

“Berdasarkan apa yang telah diumumkan, kebanyakan pakej rangsangan ekonomi telah dijalankan mengikut jadual. Perkara ini banyak membantu dalam memberi sokongan kepada golongan rentan serta membantu komuniti peniaga dan masyarakat terutama mereka yang terkesan akibat penularan COVID-19 untuk meminimumkan kesan negatif seperti masalah aliran tunai serta pengurangan pendapatan dan kehilangan pekerjaan,” katanya.

Beliau turut yakin trend penurunan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini akan berubah apabila situasi itu dijangka beransur pulih berikutan pemulihan ekonomi global yang bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi serantau termasuk Malaysia.

Katanya,  ada kedengaran beberapa syarikat asing beralih arah ke negara jiran seperti di Indonesia dan Vietnam berikutan persaingan yang sengit dalam usaha menarik minat pelabur asing untuk datang ke Malaysia.

“Justeru, kerajaan perlu meningkatkan usaha bagi mengelakkan risiko peralihan FDI ke negara lain dengan memastikan kepentingan mereka ini dijaga di samping memastikan proses untuk melabur tidak dibebani dengan karenah birokrasi.  Berikutan ada insentif pelaburan yang begitu banyak, perlu ada usaha untuk memastikan koordinasi di kalangan agensi kerajaan terlibat berkaitan supaya  dipertingkatkan. Ini bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan pelabur asing untuk mendapatkan khidmat sokongan apabila mereka mula melabur di Malaysia,” katanya.

Mengenai unjuran prestasi Bursa Malaysia pada 2021, beliau berkata tahapnya dijangka lebih baik berikutan jangkaan kenaikan di dalam keuntungan syarikat-syarikat yang disenaraikan di bursa itu seiring dengan pemulihan ekonomi global.

“Sasaran FBMKLCI bagi akhir 2021 adalah 1,715 mata,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

59  −    =  53