Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
300 kes positif COVID-19 dan 7 kematian dilaporkan di PPR Desa Rejang

KUALA LUMPUR 18 JUN 2021. Keadaan kawasan Perumahan Awam Desa Rejang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD). WMY/SUPIAN AHMAD
KUALA LUMPUR, 18 Jun – Tujuh kematian dan 300 kes positif COVID-19 dilaporkan di kawasan Perumahan Awam Desa Rejang sejak 1 Jun lalu hingga hari ini.
Kawasan perumahan awam terbabit mempunyai 12 blok unit kediaman dengan kira-kira 12,000 orang penduduk.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pelaksanaan PKPD di kawasan ini akan bermula pada Jumaat hingga 1 Julai nanti dan seramai 250 anggota dari pelbagai agensi akan ditugaskan untuk mengawal selia kawasan terbabit.
PDRM turut akan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam melaksanakan ujian saringan terhadap penduduk di kawasan terbabit terutamanya di Blok F dan L.

“Kita akan menjalankan ujian saringan COVID-19 secara menyeluruh di Blok F dan L, penduduk yang didapati positif akan dihantar ke pusat kuarantin. Kita juga akan melakukan ujian saringan di blok berlainan untuk memastikan kawasan ini selamat dari wabak COVID-19.
“Saya harap penduduk di kawasan ini mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan memberi kerjasama kepada pegawai kesihatan dalam menjalankan ujian saringan,” katanya.

Ashari turut menasihatkan penduduk untuk tidak membuat sebarang pesanan makanan atau barangan buat sementara waktu untuk dihantar ke perumahan terbabit kerana ia berada di kawasan zon merah.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menyediakan bantuan makanan dan akan diagihkan secara berjadual. Perkara ini juga telah dimaklumkan kepada persatuan penduduk untuk disebarkan menerusi aplikasi Whatsapp.

“Bagi penduduk yang mendapat temu janji suntikan vaksin COVID-19 pula, perkara itu sedang dirujuk dengan pihak Pejabat Kesihatan Daerah sama ada tarikh itu akan ditunda atau petugas kesihatan sendiri akan ke lokasi ini untuk memberi suntikan. Perkara ini akan diputuskan dalam masa terdekat,” katanya kepada media hari ini.