30 Komando TUDM tamat kursus, terima beret biru PASKAU

 30 Komando TUDM tamat kursus, terima beret biru PASKAU

Tiga pegawai dan 27 anggota LLP TUDM yang tamat kursus dan penganugerahan beret biru oleh Panglima Tentera Udara. Foto – Facebook TUDM

KUALA LUMPUR , 9 Sept — Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad pada Rabu, menyempurnakan upacara Penganugerahan Beret Biru Pasukan Khas TUDM (PASKAU) dan Penutup Kursus Komando TUDM Siri 28/21 di Pantai Hiburan, Rompin, Pahang.

Tiga pegawai dan 27 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) TUDM telah dianugerahkan beret biru yang merupakan kebanggaan PASKAU seterusnya pelengkap kepada penutup kursus diketuai Leftenan Muhammad Nur Syazwan Abdul Rahman.

Menurut kenyataan dari Bahagian Perhubungan Awam TUDM, penuntut Kursus Komando TUDM itu telah menjalani beberapa peringkat latihan menggabungkan seluruh kekuatan mental dan fizikal setiap penuntut.

“Mereka perlu menyemat semangat juang yang jitu, yakin dan sikap profesionalisme yang tinggi bagi menghadapi setiap latihan mencabar agar dinilai benar-benar layak untuk memakai beret biru dan menjadi anggota PASKAU.

“Mereka juga turut melakukan Demonstrasi Keupayaan Khas mempraktikkan ilmu dan kemahiran yang diperolehi semasa kursus,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Turut hadir menyaksikan upacara itu adalah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt. Jen. Datuk Asghar Khan Goriman Khan TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt. Jen. Datuk Mohammad Salleh Osman TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mej. Jen. Mohd Shahada Ismail TUDM dan beberapa Pegawai Kanan TUDM.

Kursus Komando TUDM Siri 28/21 di bawah tanggungjawab Pegawai Memerintah SLTT, Leftenan Kol. Jafridin Bahari itu diadakan di Sekolah Latihan Tempur TUDM (SLTT), TUDM Bukit Ibam bermula 20 Jun lalu hingga 10 September ini.

Kursus 12 minggu itu melibatkan fasa latihan peringkat pangkalan selama empat minggu di SLTT dan fasa latihan luar pangkalan selama lapan minggu di sekitar Rompin, Pahang.

Seramai lapan Pegawai dan 91 LLP telah melapor diri untuk Latihan Pra Kursus Komando TUDM, namun tiga pegawai dan 27 LLP berjaya menamatkan kursus.

Penganugerahan Beret Biru PASKAU merupakan anugerah yang didambakan oleh penuntut yang berjaya menamatkan Kursus Komando TUDM.

Pelatih terbaik Kursus Komando TUDM Siri 28/21 dinobatkan kepada Leftenan Muhammad Nur Syazwan, anak kelahiran Batu Pahat, Johor.

Bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kroh dan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak itu menyertai TUDM selepas tamat pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Beliau menyertai tentera pada 16 Mei 2016 dan mengangkat sumpah perkhidmatan TUDM dalam Cawangan Tadbir dan bertugas sebagai Ajutan di Pusat Latihan Terbang 3, Kuantan.

Sementara itu, Jeneral Ackbal dalam ucapannya selepas menyempurnakan penganugerahan beret biru mengucapkan tahniah dan syabas kepada penuntut yang kini layak digelar anggota PASKAU setelah berjaya mengharungi segala pahit getir dan pelbagai cabaran untuk mencapai kemuncak kejayaan kursus yang mencabar itu.

Kursus itu, katanya, memberi penekanan kepada kemampuan fizikal yang luar biasa, di samping membentuk kekuatan mental yang tinggi sebagai keperluan asas bagi mana-mana anggota komando agar dapat mengharungi segala kesukaran dan cabaran ketika melaksanakan misi operasi khas.

Kata beliau, di samping membentuk keupayaan fizikal dan mental yang tinggi, penekanan dan penghayatan kepada lima teras utama dalam TUDM iaitu integriti, kecemerlangan, keberanian, semangat setia kawan dan kepentingan perkhidmatan diutamakan telah diimplimentasikan dalam kursus berkenaan bagi melahirkan modal insan yang menjadi kebanggaan TUDM.

Beliau mengingatkan penuntut agar bersedia memikul tanggungjawab sebagai anggota PASKAU dalam melaksanakan operasi khas yang mencabar dan berisiko tinggi.

“Anggota Komando TUDM sewajarnya melengkapkan penguasaan diri dalam kemahiran dan pengetahuan yang tinggi dan pelbagai aspek teknikal, taktikal, operational dan strategik bagi menentukan setiap anggota PASKAU berstatus “mission capable” untuk melaksanakan setiap misi dan operasi.

“Tahniah kepada jurulatih yang telah bertungkus lumus tanpa mengira masa dan tenaga bagi menjayakan kursus ini dan tidak terkecuali kepada ibu, bapa, penjaga, isteri dan anak-anak serta keluarga penuntut kerana dengan berkat doa daripada mereka, kini perwira dan perajurit telah berjaya menamatkan kursus hingga pada hari ini meskipun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19,” katanya.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

8  +  2  =