30 doktor kontrak di HSA sertai hartal

 30 doktor kontrak di HSA sertai hartal

Lebih 30 doktor kontrak berpakaian serba hitam di HSA Johor Bahru, hari ini sebagai solidariti menyokong gerakan Hartal Doktor Kontrak seluruh negara.

JOHOR BAHRU, 26 Jul — Lebih 30 doktor kontrak berpakaian serba hitam di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini sebagai solidariti terhadap gerakan Hartal Doktor Kontrak di seluruh negara.

Perarakan secara aman bermula jam 11.10 pagi di bahagian lobi hospital itu sebelum berjalan sejauh kira-kira tiga kilometer mengelilingi hospital berkenaan.

Tinjauan turut mendapati perarakan itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan masing-masing memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal, malah tiada unsur provokasi atau kejadian tidak diingini berlaku.

Seramai 20 anggota polis hadir membuat kawalan di pekarangan lobi HSA sejak jam 10 pagi bagi memastikan keadaan selamat.

Sementara itu, jurucakap kumpulan doktor kontrak itu yang enggan namanya disiarkan berkata, semua doktor yang terlibat dalam perarakan itu menyertainya semasa waktu rehat dan tidak menjejaskan tugasan hakiki di hospital berkenaan.

“Kami menyambung kembali tugasan selepas waktu rehat kami tamat. Hartal Doktor Kontrak di HSA berjalan dengan aman pada hari ini.

“Terdapat kira-kira 100 doktor kontrak di HSA, namun bukan semuanya menyertai perarakan ini kerana sebahagiannya perlu bertugas dan mengutamakan tanggungjawab lebih penting,” katanya sebelum bersurai.

Malam tadi, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan merayu supaya doktor kontrak di seluruh negara tidak meneruskan hasrat itu.

Beliau meminta supaya doktor kontrak tidak mengabaikan pesakit dengan melakukan mogok yang boleh menjejaskan ratusan nyawa serta kerjaya mereka sendiri.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melanjutkan perlantikan secara kontrak pegawai perubatan dan pegawai pergigian untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu termasuk mereka yang diterima bekerja mengikut pengajian kepakaran dalam tempoh dua tahun pertama kontrak masing-masing.

Namun kumpulan doktor kontrak tetap mahu meneruskan gerakan Hartal Doktor Kontrak kerana bertegas dengan tuntutan, iaitu jaminan perlantikan tetap bagi doktor kontrak dan baharu, hak gaji serta kebajikan sama rata dengan doktor tetap, termasuk cuti dan faedah.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

57  −  56  =