• Friday, 18 June 2021, 1:33 am

30 dikompaun RM45,000 berkumpul rai Aidilfitri

 30 dikompaun RM45,000 berkumpul rai Aidilfitri

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 26 Mei – Polis mengeluarkan kompaun RM45,000 kepada 30 individu termasuk remaja yang menyewa tiga apartment di bandar raya ini selama beberapa hari untuk mereka berkumpul sempena Aidilitri.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, bertindak atas maklumat, pada jam 12.15 tengah malam, polis menyerbu dua apartment di Jalan Tanjung Puteri dan serbuan di Apartment Persiaran Jaya Putra, Taman Jaya Putra, di sini.

“Hasil serbuan pihak polis telah menahan 30 orang terdiri daripada 19 lelaki dan 11 wanita berusia antara 16 hingga 29 tahun.

“Ketika serbuan dibuat, kesemua yang diperiksa berkumpul di ruang tamu rumah tersebut tanpa penjarakan fizikal serta tidak memakai pelitup muka.

“Semua yang ditahan dikenakan kompaun di bawah Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) (No. 2) 2021 kerana melanggar syarat dan tiada penjarakan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mematuhi penjarakan sosial di tempat awam.

“Polis juga ingin mengingatkan kepada golongan muda untuk hentikan semua aktiviti berkumpul seperti ini agar dapat kita sama-sama dapat memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Tindakan tegas akan diambil bagi mereka yang tidak mematuhi PKP yang dilaksanakan di seluruh negara pada ketika ini,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *