29 termasuk warga Vietnam ditahan ketika leka berhibur

 29 termasuk warga Vietnam ditahan ketika leka berhibur

Sebahagian daripada 29 individu yang ditahan dalam serbuan ketika leka berhibur di sebuah premis di Jalan Sagu 18, Taman Daya, Johor Bahru kelmarin

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 6 April – Seramai 29 individu berusia antara 20 hingga 52 tahun melibatkan warga tempatan dan asing ditahan ketika leka berhibur di sebuah premis di Jalan Sagu 18, Taman Daya di sini, kelmarin.

Mereka yang berusia antara 20 hingga 52 tahun itu melibatkan warga tempatan dan asing ditahan dalam serbuan pada jam 7.45 malam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, dalam serbuan jam 7.45 malam itu, pihaknya turut merampas lapan paket jus mangga dan 87 biji pil berwarna merah jambu disyaki dadah jenis ekstasi serta tujuh paket lut sinar disyaki dadah jenis ketamin.

Turut dirampas sebuah dekoder, modem wifi, televisyen, monitor, mikrofon, pembesar suara dan wang tunai RM1,420.

“Seramai 14 individu warga tempatan yang merupakan pengunjung premis dikenakan kompaun RM10,000 setiap seorang kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

“Seramai 15 warga Vietnam terdiri daripada empat lelaki dan 11 wanita Vietnam akan dilakukan semakan rekod pergerakan keluar masuk negara melalui Jabatan Imigresen,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Seorang lelaki Vietnam, 24, yang mengaku sebagai penjaga premis hiburan itu ditahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketika pemeriksaan mendapati premis itu beroperasi dengan muzik kuat selain terdapat sekumpulan lelaki dan wanita sedang leka berhibur sambil minum arak.

Semakan status lesen perniagaan dan status lesen hiburan premis tersebut akan dibuat melalui Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Kes disiasat di bawah Peraturan 16 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar syarat PKPB dan Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Johor 4/98.

Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2  +  5  =