27,500 liter air zam zam disita di Pelabuhan Klang

 27,500 liter air zam zam disita di Pelabuhan Klang

KUALA LUMPUR, 8 Jul — Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit III (LTA Kuala Lumpur) menggagalkan cubaan menyeludup masuk air zam zam dari Arab Saudi di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Jumaat lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Datuk Zazuli Johan berkata 27,500 liter air zam zam yang dianggarkan bernilai RM206,250 dan melibatkan cukai sebanyak RM66,000 itu disita daripada sebuah kontena.

“Modus operandi kes ini ialah membuat pengikraran tidak benar terhadap pengimportan air zam zam dengan mengikrar dagangan sebagai jus dan air minuman di dalam Daftar Masuk bertujuan mengelakkan daripada Permit Import semasa pengimportan dan dikenakan duti cukai yang tinggi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Zazuli berkata siasatan mendapati kesemua air zam zam itu diimport dari Arab Saudi tanpa Permit Import yang sah dan tanpa membayar cukai dan duti ke atasnya.

Menurutnya air zam zam diklasifikasikan sebagai barang larangan import di bawah Butiran 74, Jadual Ketiga, Bahagian I Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

“Perbuatan mengimport air zam zam tanpa Permit Import merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019,” katanya.

Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali nilai barang atau RM100,000, mana lebih besar dan tidak lebih dua puluh kali ganda nilai barang atau RM500,000 mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019 pula memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali, katanya.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  60  =  64