27 kemaruk berhibur dikompaun RM155,000

 27 kemaruk berhibur dikompaun RM155,000

KULAI, 21 Jun — Seramai 27 individu dikompaun sebanyak RM155,000 apabila ditahan sedang leka berhibur ketika serbuan ke atas sebuah premis di Jalan Kenanga 29/9, Bandar Indahpura, di sini, tengah malam kelmarin.

Dalam operasi jam 12.15 tengah malam itu, seramai 26 individu berusia antara 16 hingga 53 tahun ditahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintenden Tok Beng Yeow berkata, turut ditahan seorang lelaki yang mengaku sebagai pemilik premis.

Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dari Balai Polis Kulai dan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) telah membuat serbuan dan pemeriksaan di sebuah premis pusat hiburan terbabit.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan dapati terdapat sekumpulan 22 lelaki dan empat wanita tempatan sedang berkumpul dalam premis tersebut.

“Pemeriksaan yang dibuat mendapati premis tersebut tiada lesen perniagaan yang sah untuk beroperasi.

“Pihak polis mengeluarkan kompaun RM25,000 terhadap pemilik premis, manakala RM5,000 ke atas setiap pengunjung kerana melanggar Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) berkumpul tanpa alasan yang munasabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beng Yeow berkata, sepanjang tempoh PKP 3.0 ini, orang awam dinasihatkan agar sentiasa mematuhi segala arahan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Tindakan tegas akan diambil bagi mana-mana individu atau perbadanan yang melanggar arahan.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  47  =  51