269 masjid, surau di Johor laksana program Gerobok Rezeki

 269 masjid, surau di Johor laksana program Gerobok Rezeki

Pihak pengurusan Kampung Masjid Taman Rinting, Johor Bahru, menyerahkan barang keperluan asas sumbangan Gerobok Rezeki kepada penduduk setempat yang memerlukan di taman itu.

JOHOR BAHRU, 6 julai – Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) melaksanakan program Gerobok Rezeki di 269 masjid dan surau di seluruh daerah di Johor dalam usaha membantu golongan yang memerlukan.

Timbalan Pengarah Operasi JAINJ, Anoar Sarimin berkata, Gerobok Rezeki itu mula dilaksanakan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membantu orang ramai yang terjejas pendapatan.

“Sehingga kini program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada kariah masjid dan surau serta penduduk setempat yang turut menyumbangkan barangan asas seperti beras, minyak masak, telur, tepung dan gula pasir.

“Barang-barang yang dalam Gerobok Rezeki ini disumbangkan sendiri oleh jemaah walaupun pada asal pihak masjid mula-mula memodalkannya,” katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Kurnia di sini pada Isnin.

Katanya, antara masjid yang menjadi pusat agihan Masjid Kampung Kurnia, Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Masjid Kampung Melayu Pandan dan Masjid Taman Rinting di Johor Bahru.

Katanya, kemudian jemaah setempat memberikan sumbangan untuk Gerobok Rezeki dan penduduk yang memerlukan akan datang mengambilnya.

Menurutnya, terdapat beberapa masjid dan surau meletakkan jadual untuk mereka mengambil barang tetapi ada masjid dan surau yang membenarkan boleh diambil pada bila-bila masa.

Beliau mengingatkan pihak pengurusan masjid dan surau untuk memastikan semua penerima dan penyumbang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak berlakunya kemungkinan penularan COVID-19 sewaktu program bantuan dijalankan.

Tambahnya, terdapat juga pengurusan masjid dan surau yang mengambil maklumat penerima bagi memastikan kebajikan golongan itu terus terjaga meskipun selepas menerima bantuan menerusi Gerobok Rezeki berkenaan.

Sementara itu, seorang penyumbang di Masjid Kampung Kurnia di sini, Fatimah Abd Rahman berkata, pemberian bantuan tersebut lebih utama diagihkan kepada penduduk berdekatan yang memerlukan.

“Kalau kita nak sedekah atau memberi sesuatu itu kita mesti tengok persekitaran yang dekat dulu sebagai keutamaan. Kita pun tahukan kalau kita senang, kita kena tengok keadaan sekeliling,” katanya.

Seorang lagi penyumbang di masjid kampung tersebut, Muhamad Harith Fidhlah berkata, mereka yang menyumbang makanan di kawasan berkenaan terlalu ramai sejak bulan puasa lagi.

“Bila kita cuba buat macam ini alhamdulilah kita nampak sasaran bila yang datang betul-betul memerlukan. Ada suami yang bekerja di Singapura, ada yang tidak bekerja beberapa bulan dan ada jiran yang betul-betul susah datang sini ambil bantuan,” katanya.

Nurman Nasyriq

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *