26 taman eko rimba, taman hutan negeri di Pahang masih tutup

 26 taman eko rimba, taman hutan negeri di Pahang masih tutup

Sebanyak 26 taman eko rimba dan hutan taman negeri masih ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

KUANTAN, 20 Ogos — Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) melanjutkan penutupan sementara 26 taman eko rimba dan hutan taman negeri berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 seluruh negara.

Turut ditutup bagi aktiviti riadah ialah kawasan pendakian dan perkelahan yang terdapat dalam hutan simpan kekal.

Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) JPNP, Regina Mariah Jong berkata, keputusan melanjutkan penutupan sementara semua pusat perkelahan itu diputuskan demi keselamatan dan kesihatan orang ramai.

Katanya, dalam tempoh berkenaan, Pejabat Hutan Daerah tidak akan mengeluarkan permit untuk memasuki hutan simpan kekal bagi tujuan aktiviti riadah.

“JPNP memohon maaf terhadap keputusan melanjutan penutupan sementara semua 26 taman hutan rimba, hutan tema negeri dan hutan simpan kekal bertujuan membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.

“Keputusan berkenaan dibuat demi kebaikan bersama, kita tidak mahu keseronokan bersama keluarga dan rakan di pusat perkelahan di bawah seliaan JPNP berakhir dengan kejadian tidak diingini.

“Kita akan umumkan pembukaan semula semua pusat pelancongan di bawah seliaan JPNP pada tarikh akan ditetapkan,” katanya yang berharap masyarakat tidak menceroboh kawasan taman eko rimba.

Regina Mariah berkata, mereka yang memasuki hutan simpan kekal tanpa permit untuk melakukan aktiviti riadah boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *