25 unit bom ‘hand grenade smoke’ ditemui di tapak pembuangan sampah

 25 unit bom ‘hand grenade smoke’ ditemui di tapak pembuangan sampah

DUNGUN, 16 Feb — Sebanyak 25 unit bom jenis ‘hand grenade smoke’ ditemui di sebuah tapak pembuangan sampah di Felda Kerteh 3, Ketengah Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah berkata pihaknya telah mengambil kesemua bom itu kira-kira pukul 1.30 pagi tadi di sekitar kawasan semak samun, yang berdekatan kawasan ladang kelapa sawit.

Beliau berkata seorang pemandu lori sampah menemui bom itu pada kira-kira pukul 4.00 petang semalam dan kembali semula ke kawasan kejadian bersama empat rakannya pada pukul 10 malam (semalam), dan beberapa jam kemudian barulah mereka memaklumkan kepada pihak polis.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat 24 unit mini ‘hand grenade smoke’ bertulis DK dan satu unit lagi bertulis 518 Riot CS yang diletakkan di dalam sebuah kotak berwarna coklat dengan ditutup dua beg galas kanak-kanak.

“Jarak ke tempat kejadian lebih kurang lima kilometer dari jalan utama. Biasanya bom ini digunakan ketika latihan oleh pihak keselamatan dan bahan ini merupakan bahan terlarang yang tidak boleh disimpan oleh mana-mana individu,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Baharudin berkata semakan mendapati bom itu tidak mempunyai sebarang nombor siri dan ia dipercayai buatan Korea Selatan.

Menurutnya bom itu akan dilupuskan Unit Persenjataan (AMRA) Ibu pejabat Daerah Dungun di Lapang Sasar Lembah Bidong, Setiu dalam masa terdekat dan kes disiasat sedang di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957.

— BERNAMA

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  77  =  81