2,490 petani rugi lebih RM13.4 juta tanaman musnah banjir

 2,490 petani rugi lebih RM13.4 juta tanaman musnah banjir

KUANTAN: Kerugian lebih RM13.4 juta dialami dalam sektor pertanian tanaman agro makanan di Pahang akibat bencana banjir luar biasa akhir tahun lalu.


Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Pahang (JPNP) Muhd Rizal Baharom berkata, seramai 2,490 petani mengalami kerugian apabila tanaman mereka rosak serta musnah selepas ditenggelami banjir dalam masa antara dua hingga lima hari dan dibeberapa kawasan berlaku air termenung.


Menurutnya, kerugian lebih RM8.4 juta dicatat membabitkan projek tanaman padi di Maran (56.66 hek) termasuk kawasan jelapang padi negara di Pekan (4,518.50 hek) dan Rompin (120,00 hek) dengan luas keseluruhan 4,694.66 hektar musnah ditenggelami banjir.


Katanya, seramai 2,043 pesawah menanggung kerugian di tiga daerah berkenaan membabitkan Maran seramai 20 orang diikuti Rompin seramai 55 orang dan Pekan seramai 1,968 orang yang terdiri daripada beberapa kawasan sawah seperti Paya Pahang Tua, Paya Ganchung dan Paya Merchong dan Paya Serandu.


“Tanaman agro makanan selain padi yang turut musnah seperti sayuran dan buah-buahan membabitkan kawasan seluas 457.11 hektar dengan Pekan mencatat jumlah seluas 158 hektar diikuti Kuantan (141 hek) dan Jerantut (31 hek).Seramai 447 petani yang terbabit.


“Kerugian lebih RM5 juta dicatat, daerah Pekan mencatat jumlah tertinggi lebih RM1.4 diikuti Kuantan lebih RM1.2 juta dan Lipis (RM536,426),” katanya, di sini.


Beliau menambah, kejadian banjir akhir tahun lalu lebih buruk berbanding awal tahun lalu yang menyebabkan kerugian besar pada pesawah dan pekebun, kebanyakan mereka tidak menyangka banjir seburuk itu boleh berlaku.


Muhd Rizal berkata, ramai pekebun yang mengusahakan pelbagai jenis tanaman sayur di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang dibangunkan JPNP di negeri turut mengalami kerugian apabila kawasan kebun mereka ditenggelami banjir.


Katanya, TKPM Inderapura Jalan Kuantan-Pekan, di sini antara yang ditenggelami banjir. Pekebun di situ mengusahakan pelbagai jenis tanaman sayur menggunakan kaedah fertigasi atau gantung.


“Selain pokok mati terdapat juga peralatan dan jentera pertanian milik pekebun musnah serta rosak apabila ditenggelami banjir, arus air yang deras turut memusnahkan sistem paip air menyiram yang digunakan.


“Saya berharap kemusnahan tanaman dan kerugian yang dialami tidak mematahkan semangat golongan pesawah dan pekebun untuk memulakan semula projek pertanian yang diusahakan,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

75  −    =  74