24 penyu agar berkubur di Pahang

 24 penyu agar berkubur di Pahang

Bangkai penyu jenis agar ditemui di pesisir Pantai Balok, baru-baru ini.

Oleh Mohd Fikri Mie

KUANTAN, 23 April – Jabatan Perikanan Pahang mencatat 24 kes kematian penyu agar (Chelonia mydas) di negeri ini dalam tempoh tiga tahun sejak 2019.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, dalam tempoh tiga bulan tahun ini tiga kes kematian reptilia itu dicatatkan, tujuh kes tahun lalu dan 13 kes pada 2019.

“Punca kematian dipercayai disebabkan tersangkut pada pukat, terkena kipas bot nelayan dan mengalami masalah usus yang berpunca daripada memakan plastik yang dibuang ke laut,” katanya kepada Wacana.my.

Beliau berkata, bagi mencegah penyu tersangkut pada pukat, penggunaan mata pukat hanyut yang melebihi 25.4 sentimeter yang dikenali sebagai ‘pukat pari’ adalah dilarang.

Larangan itu dibuat berdasarkan Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980.

Antara penyu agar yang ditemui mati di Pahang dalam tempoh tiga tahun.

“Plastik yang dibuang ke laut turut mengancam nyawa penyu kerana ia menyangka ampai-ampai yang menjadi makanan utamanya.

“Justeru, kami berharap semua pihak termasuk nelayan tidak bertindak membuang sampah terutama plastik ke laut serta persekitaran. Banyak kes penyu mati kerana makan plastik,” katanya mengulas penemuan bangkai penyu jenis agar oleh seorang pemancing di Pantai Balok, di sini baru-baru ini.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan nelayan yang didapati menggunakan ‘pukat pari’ di perairan negeri ini dan tindakan tegas meanti mereka yang tamak sehingga bertindak melanggar undang-undang.

Abdullah berkata, usaha jabatan menambah jumlah penyu yang dilakukan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating di sini, tidak akan berhasil sekiranya jumlah kematian penyu berlaku setiap tahun.

Sebahagian anak penyu agar yang ditetaskan di PKPP Cherating, dilepaskan ke laut.

Katanya, untuk memupuk kesedaran di kalangan nelayan tempatan supaya turut sama menyelamatkan penyu, jabatan itu menganjurkan program dan kempen selamatkan penyu dari masa ke semasa.

“Pada program itu, kami turut mengingatkan nelayan supaya tidak cuba menggunakan ‘pukat pari’ bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

“Penyu adalah khazanan negara yang perlu terus dikekalkan dan usaha mengekalkanya perlu dilakukan secara bersama,” katanya yang akan terus memberi tumpuan kepada penguatkuasaan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

13  −  4  =