24 kes ceroboh hutan dalam tiga bulan pertama 2021

 24 kes ceroboh hutan dalam tiga bulan pertama 2021

Kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis memeriksa sebahagian balak yang dirampas di Hutan Simpan Benchah.

Oleh Mohd Fikri Mie

KUANTAN, 20 April – Unit Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mematahkan 24 kes cubaan menceroboh hutan simpan di negeri ini sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), JPNP Nor Azirim Ahmad berkata, walaupun negara sedang berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan wabak COVID-19 namun jenayah menceroboh hutan simpan dan cubaan memindahkan hasil hutan tanpa permit tetap dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun katanya, tindakan pantas anggota penguatkuasa Zon Pahang Barat dan Timur dengan kerjasama Unit Tindakan Khas (UTK) Pejabat Hutan Daerah (PHD), kegiatan jenayah itu terlebih dahulu dapat dikesan serta ditumpaskan.

Beliau berkata, pelbagai cara dan helah digunakan pihak terbabit untuk mengaburi pihak berkuasa, namun cubaan mereka tidak Berjaya.

“Daripada 24 kes ceroboh hutan simpan, tujuh berlaku di daerah Kuantan, diikuti Lipis (6), Bentong (4), Jerantut (3), Temerloh (2), Raub (1) dan Rompin (1).

Anggota penguatkuasa Zon Pahang Barat memeriksa sebahagian balak yang dirampas di Hutan Simpan Benchah, Februari lalu.

“Dalam tempoh berkenaan juga terdapat empat kes cubaan memindahkan balak serta kayu bergergaji berlaku di Jerantut, Lipis dan Kuantan. Satu kes membabitkan kegiatan melombong emas dalam hutan simpan,” katanya, di sini semalam.

Nor Azirim berkata, bagi memastikan kegiatan pencerobohan hutan simpan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memindahkan hasil hutan tanpa lesen, aktiviti pemantauan secara berjadual dilakukan secara berterusan membabitkan beberapa kawasan panas.

Beliau menambah, pihaknya sentiasa melakukan penguatkuasaan walaupun pada Ramadan kerana penjenayah alam sekitar ini tidak mengenal waktu untuk melakukannya. Selain itu, sekatan jalan raya dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa lain.

Bagi kes tertentu, pemantauan dari udara menggunakan helikopter turut dilakukan selain penggunaan dron. Apabila terdapat kesan pencerobohan anggota UPK dan UTK akan segera bertindak membuat serbuan.

“Kami tidak akan berkompromi dengan pihak yang bertindak menceroboh hutan simpan di negeri ini, mereka bersalah didakwa di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

“Perbuatan menceroboh hutan dan menebang pokok tanpa kawalan akan merosakan hutan selain menyebabkan merugikan pada kerajaan negeri,” katanya.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

2  +  2  =