23 burung dilindungi dirampas Perhilitan

 23 burung dilindungi dirampas Perhilitan

Perhilitan Johor merampas 23 ekor burung daripada spesies yang dilindungi di sebuah rumah di Taman Bestari Indah, Ulu Tiram, Johor Bahru, semalam. Foto WMY/Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 25 Jun — Tindakan seorang lelaki menyimpan 23 ekor burung daripada spesies yang dilindungi membawa padah apabila dirampas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor di rumahnya Taman Bestari Indah, Ulu Tiram semalam.

Pengarah Perhilitan Johor, Salman Saaban berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada orang ramai sebelum melakukan serbuan pada jam 10.30 malam melibatkan empat pegawai penguat kuasa jabatan tersebut.

“Dalam operasi berkenaan, Perhilitan Johor menemui 11 ekor disyaki burung Bayan Nuri, seekor burung Bayan Puling, seekor burung Murai Batu dan 10 ekor burung Bayan Serindit. Semua burung ini dilindungi di bawah Akta 716.

“Selepas diperiksa, kita mendapati pemilik premis seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk menyimpan kesemua spesies burung tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Perhilitan Johor menemui 11 ekor disyaki burung Bayan Nuri, seekor burung Bayan Puling, seekor burung Murai Batu dan 10 ekor burung Bayan Serindit. Semua burung ini dilindungi di bawah Akta 716. Foto WMY/Nurman Nasyriq

Semua burung tersebut dan sebuah telefon bimbit milik lelaki berkenaan telah disita untuk siasatan lanjut.

Nilai sitaan berjumlah RM9,500 dan satu laporan sudah dibuat di Balai Polis Ulu Tiram.

Lelaki terbabit kemudian dilepaskan dengan jaminan polis selepas soal siasat dilakukan.

“Kesemua barang kes telah dibawa ke Pejabat Perhilitan Daerah Kluang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 60 dan Seksyen 68, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  5  =  13