22 termasuk pegawai, atlet pasukan bola tampar wanita Thailand positif COVID-19

 22 termasuk pegawai, atlet pasukan bola tampar wanita Thailand positif COVID-19

BANGKOK, 15 Mei — Seramai 22 termasuk pegawai dan atlet pasukan bola tampar wanita Thailand didapati positif COVID-19, memaksa pasukan itu menarik diri daripada menyertai Liga Bola Tampar Wanita FIVB.

Persatuan Bola Tampar Thailand dalam satu kenyataan berkata empat pegawai sains sukan yang melatih atlet di kem di Nakhon Pathom didapati positif pada Selasa.

“Kami kemudian segera mengarahkan semua 37 atlet, jurulatih dan staf lain yang menjadi kontak rapat menjalani ujian saringan. Hasil ujian yang dikeluarkan pagi ini mendapati 22 daripadanya positif,” kata persatuan itu.

Kesemua ahli pasukan yang dijangkiti menerima rawatan di Hospital Piyavate sementara empat staf dimasukkan ke Hospital Nakhon Pathom.

Liga Bola Tampar Wanita FIVB akan diadakan pada 25 Mei hingga 25 Jun di Rimini, Itali. Sebanyak 16 pasukan dijangka bertanding.

Pada Rabu, Thailand mencatat 1,983 kes baharu COVID-19 dan 34 korban, jumlah kematian harian tertinggi. Keseluruhan jumlah kes sebanyak 88,907 dan 486 kematian, kata Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA).

Daripada jumlah kes baharu, 1,974 membabitkan jangkitan tempatan dan sembilan import termasuk tiga rakyat Malaysia.

Sementara itu, seramai 2,835 banduan membabitkan dua pusat tahanan di Bangkok didapati positif COVID-19.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Aryut Sinthoppan dalam satu kenyataan berkata kes itu membabitkan seramai 1,795 banduan di Penjara Reman Bangkok dan 1,040 penghuni di institut pemulihan wanita.

Dua kemudahan tahanan itu menempatkan beberapa pemimpin tunjuk perasaan yang ditahan dan diuji positif COVID-19.

“Sehingga kini, sebanyak 17,000 ujian pengesanan telah dilakukan dalam kalangan banduan dan staf di kedua-dua penjara itu,” katanya.

Terdahulu, Panusaya Sithijirawattanakul yang berada lapan minggu di penjara sementara menunggu perbicaraan atas tuduhan menghina sistem monarki berkata, dia turut dijangkiti virus itu.

Panusaya yang dibebaskan dengan ikat jamin pada minggu lalu sedang menerima rawatan di sebuah hospital.

Dua lagi pemimpin tunjuk perasaan antikerajaan yang turut didapati positif COVID-19 ialah peguam hak asasi manusia Arnon Nampa dan Chukiat Saengowng yang masih dalam tahanan.

Pada Selasa sebuah mahkamah membebaskan pemimpin tunjuk perasaan Parit Chiwarak, 22, dan Chaiamorn Kaewwiboonpan, 32.

Kedua-duanya dibebaskan dengan syarat perlu kekal berada di Thailand dan tidak menyertai sebarang tunjuk perasaan dan menghina sistem monarki.

 

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

1  +  2  =