Nasib Johor Baharu bandar sempadan

 Nasib Johor Baharu bandar sempadan

Razrul (2 dari kanan) dalam satu program menyerahkan bungkusan makanan gelandangan di Bandaraya Johor Bahru, baru-baru ini

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Oleh Mohd Kamal Ahmad

HAKIKATNYA mana-mana bandar sempadan sentiasa sibuk, meriah, rancak malah bingit. Contohnya Danok dan Golok di selatan Thailand sesak dengan rakyat Malaysia. Batam dan Tanjung Pinang pula dikerumuni warga Singapura.

Bandaraya Johor Bahru pula sesak dengan orang dan kenderaan plat Singapura. Mereka berpusu-pusu di Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) di Jalan Tun Razak setiap hari. Mereka menarik travel bag yang kosong ketika datang sebelah pagi dan penuh diisi roti, makanan, minyak masak, sabun pencuci, pakaian dan snack food ketika balik menjelang petang.Peniaga di Johor Bahru benar-benar menikmati limpahan Dollar Singapura yang dibelanjakan walaupun terpaksa berdepan kerenah pelanggan yang cerewet dan suka mendesak bila tawar menawar harga.

Kemudian musibah COVID-19 melanda. Pandemik global itu merubah wajah, rentak dan nasib Bandaraya Johor Bahru apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac 2020. Ekonomi seluruh Johor khususnya Johor Baharu terjejas akibat terhentinya kemasukan rakyat Singapura dan ratusan ribu rakyat Malaysia yang tidak boleh bekerja di sana.

‘Kita boleh tidur di atas jalan’ adalah ungkapan untuk menggambarkan sunyi dan lengangnya bandar raya ini sekarang. Banyak premis perniagaan, urut, spa, restoran, kilat kuku, cuci kereta, kedai aksesori dan hotel tutup.

Mengulas perkara ini,  Timbalan Ketua BERSATU Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli  berkata, beliau mendapat maklumat ramai bekas pekerja terutama dari negeri yang jauh kini menjadi gelandangan di  bandar raya itu dan mereka mengharapkan sumbangan NGO, persatuan, sukarelawan dan ahli politik untuk hidup.

“Ada kira-kira  300,000 rakyat Malaysia berulang-alik Johor Bahru-Singapura setiap hari dan 400,000 lagi bekerja dan tinggal di sana. Bayangkan kesannya kepada sosioekonomi dan sektor peruncitan apabila COVID-19 menular sekarang.

“Jadi jelas, faktor Singapura dan kebergantungan Johor Bahru kepada ekonomi dan pekerjaan di Singapura sangat ketara. Ini perlu dikaji dengan teliti bagi mencari beberapa alternatif menerusi pelan komprehensif untuk meminimumkan kesan kebergantungan kita kepada republik itu,” katanya.

Bagaimana hendak mengubah Johor Bahru supaya tidak mengulangi nasib serupa pada masa akan datang? Cara mana perniagaan di sini hendak melepaskan kebergantungan kepada ekonomi, pekerjaan dan rakyat Singapura?

Contoh, dalam keadaan sukar sekarang, pemilik bangunan dan tuan kedai wajar menjadualkan semula dan menurunkan kadar sewa, caj penyelenggaraan, bil utiliti serta bayaran letak kereta. Pengurusan bangunan juga perlu mengoptimumkan tenaga khidmat pembersihan dan kawalan keselamatan untuk menjimatkan kos operasi sambal menyerap penurunan sewa.  Apa salahnya ketika susah, mereka  pun sama-sama susah. Jika ada tolak-ansur untuk mengurangkan kadar sewa, kedua-dua pihak mampu bertahan dan sama-sama meneruskan perniagaan.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) pula wajar berkorban sedikit dengan menurunkan caj lesen atau memberi rebat untuk bayaran lesen tahun-tahun akan datang.

Sewajarnya isu ‘nasib bandar sempadan’ ini ditangani secara kolektif, berhemah dan komprehensif semua pihak berkaitan.  Justeru, dalam kes Johor Bahru, kerajaan negeri dan agensi serta PBT perlu campur tangan, menggariskan pelan dan sama-sama ‘memberikan bantuan oksigen’ kepada peniaga yang tenat. Jika perlu, apa salahnya diwujudkan geran atau dana khas? Kerajaan boleh menggunakan kuasa pentadbiran untuk menyelamatkan mereka seperti mencadangkan pelan penggabungan atau menubuhkan konsortium bagi menyatukan modal, sumber dan kepakaran bagi  memperkukuhkan kehadiran mereka di pasaran.

Jika hendak menyentuh aspek sentimen, ada ribuan peniaga Melayu menduduki premis dan kompleks beli-belah milik GLC negeri serta Persekutuan di Johor Bahru. Rata-rata mereka berniaga pakaian, kedai pengantin, tudung, kraf dan makanan. Selepas kesan PKP dan disusuli PKP 2.0 yang melarang operasi kedai pakaian, apakah nasib mereka, keluarga dan pekerjanya sekarang? Umpama sudah jatuh, ditimpa tangga dan hidung pula terkena najis. Maksudnya, kesusahan mereka berganda dan bertimpa-timpa segenap peringkat komuniti peniaga dan pengusaha.

Sektor hartanah di Johor Bahru juga antara yang terkesan teruk akibat COVID-19. Pemaju, penyewa dan pembelinya ramai yang tidak mampu membayar pinjaman bank atau sewa. Oleh itu, perlu ada pelan khas untuk menjadikan Johor Bahru lebih mandiri. Ini kerana banyak hartanah serta pelbagai perniagaan di sini milik Singaporean. Jadi tidak hairan,banyak rumah, premis dan bangunan yang kosong atau terbengkalai apabila pandemik ini berlaku.

Perancangan itu juga wajar memasukkan aspek trend pembangunan hartanah dan industri termasuk di Johor Baharu juga mulai berubah. Jika pelabur asing termasuk dari Singapura masuk semula untuk menanam modal pada masa depan, pastinya mereka lebih cenderung untuk mendapatkan saiz pejabat, kedai atau kilang yang kecil.  Jadi, dengan menampilkan hartanah yang memenuhi trend itu, Johor Bahru mampu menarik lebih ramai pelabur digital, online dan e-ekonomi  sekali gus membuat come back selepas ini. Oleh itu, perancangan ke arah trend ini perlu disegerakan.

Pada masa sama, pemilik kompleks beli-belah di Johor Bahru boleh mengambil kesempatan sekarang untuk mengubah suai premis masing-masing. Dengan pesatnya jual-beli di premis maya, kedai fizikal masa depan tidak lagi perlu besar tetapi sekadar untuk menjadi corporate office dan display.

Pembangunan hartanah khususnya  kediaman bercirikan masa depan, juga perlu memenuhi keperluan work from home selainruang beribadat  dan menitikberatkan keselesaan kerana kita akan lebih banyak menghabiskan masa di rumah. Inilah antara ciri-ciri baharu perancangan hartanah sekarang supaya industri itu mampu bangkit semula selepas terjejas akibat COVID-19.

Pada masa sama, peniaga di bandar raya perlu segera dibimbing supaya menukar corak perniagaan. Pembangunan Sumber Manusia Berhad mungkin boleh melunaskan peranan ini bersama agensi  kementerian. Peniaga perlu menukar kelaziman termasuk menguasai perniagaan secara online. Dengan itu, mereka boleh mengisi premis di kompleks beli-belah trend baharu dengan saiz lebih kecil dan kos sewa lebih rendah.

Lagipun, dalam keadaan sekarang Johor Bahru tidak perlu tergesa-gesa untuk mencapai status metropolitan. Kawal pembangunan hartanah atau akhirnya tidak terjual atau terbengkalai. Ambil kira lambakan hartanah yang tidak terjual di Johor Bahru sekarang. Sebaliknya, lebih baik pemaju menggiatkan pembangunan kediaman mampu milik trend baharu untuk menarik lebih ramai berhijrah ke bandar raya ini dan meningkatkan jumlah penduduk.

Selain itu, mengambil kira pelaksanaan beberapa projek penting di Johor Bahru dalam masa terdekat ini, langkah memberi perspektif baharu ini mampu membugarkan semula bandar raya ini.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *