20 rumah musnah dalam kebakaran di Simunul

 20 rumah musnah dalam kebakaran di Simunul

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

SEMPORNA, 2 April – Lebih 20 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Simunul dekat sini, pagi tadi.

Kebakaran kira-kira jam 11.00 pagi itu dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak ke kediaman lain di penempatan atas air berkenaan.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Semporna, Fazizul Hizam Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.13 pagi sebelum sepasukan 16 anggota bersama dua jentera tiba lokasi kejadian kira-kira empat minit kemudian.

Sebaik tiba di lokasi, didapati api sedang marak memusnahkan beberapa rumah papan atas air membabitkan keluasan kira-kira 0.4 hektar.

“Anggota bomba yang turut dibantu penduduk kampung berjaya mengawal kebakaran daripada merebak dan menyelamatkan sebahagian lagi rumah berdekatan.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan api berjaya dikawal kira-kira jam 1.11 tengah hari,” katanya.

Fazizul berkata, pihaknya turut mendapat bantuan dari Balai Bomba Kunak serta agensi lain termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Air Semporna dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Katanya, punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat Unit Forensik Kebakaran.

Untuk rekod, pada 2015, kira-kira 50 rumah atas air musnah dalam kebakaran di kampung sama.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

16  +    =  21