20 ditahan dalam operasi banteras judi, kontraban

 20 ditahan dalam operasi banteras judi, kontraban

Sebahagian daripada rokok yang dirampas dalam operasi bersepadu membanteras aktiviti perjudian dan kontraban di beberapa premis di Kota Tinggi, pada Jumaat.

KOTA TINGGI, 8 Ogos — Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi melakukan 16 serbuan dalam Ops Bersepadu Perjudian dan Kontraban Daerah Kota Tinggi di beberapa premis pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, operasi yang bermula jam 10 pagi hingga 7 petang itu disertai anggota dari Balai Kota Tinggi, Bahagian Siasatan Jenayah dan Pasukan Task Force COVID-19 IPD Kota Tinggi.

“Dalam 16 serbuan premis itu, pihak polis menahan 12 lelaki dan empat wanita tempatan serta empat lelaki warga asing berusia antara 19 hingga 58 tahun.

“Pihak polis juga telah merampas 11 telefon bimbit, wang tunai RM2,350, 213 karton rokok seludup dan 37 botol minuman keras tanpa cukai. Nilai rampasan berjumlah RM52,320,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4A(a) 4(1)(C) dan Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 selain Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua suspek direman selama empat hari hingga 11 Ogos ini untuk membantu siasatan lanjut.

Pihaknya akan mempertingkatkan operasi dan pemantauan terhadap aktiviti perjudian dan penyeludupan kontraban.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

34  −  31  =