• Sunday, 20 June 2021, 8:07 am

20 dikompaun RM105,000 di pusat hiburan

 20 dikompaun RM105,000 di pusat hiburan

JOHOR BAHRU, 11 Jun — Polis menahan 19 pengunjung termasuk tiga warga asing yang sedang leka berhibur di sebuah pusat hiburan di Taman Sentosa di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, mereka yang ditahan dalam operasi jam 5.30 petang itu terdiri daripada 16 warga tempatan dan tiga rakyat asing.

“Warga asing tersebut merupakan seorang lelaki Singapura dan dua wanita Vietnam berusia antara 24 hingga 42 tahun. Selain 19 pengunjung itu, seorang wanita warga tempatan turut ditahan.

“Wanita itu adalah penjaga premis pusat hiburan tersebut. Dia dikenakan kompaun RM25,000 manakala 16 pengunjung tempatan pula dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Mereka dikenakan kompaun mengikut kesalahan di bawah peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342).

Beliau memberitahu, nilai keseluruhan kompaun yang dikenakan berjumlah RM105,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Tiga warga asing itu pula ditahan kerana melanggar SOP dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan.

“Mereka ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 masuk dan tinggal di negara ini tanpa mempunyai pas imigresen yang sah,” katanya.

Nurman Nasyriq

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *