2.89 juta dos vaksin COVID-19 akan dibekal ke Sabah bulan ini

 2.89 juta dos vaksin COVID-19 akan dibekal ke Sabah bulan ini

KOTA KINABALU, 6 Sept — Sebanyak 2.89 juta dos vaksin COVID-19 akan dibekalkan ke Sabah bulan ini dalam usaha meningkatkan kadar vaksinasi di negeri ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata dengan penghantaran bekalan vaksin itu, kerajaan yakin Sabah akan dapat meningkatkan kadar vaksinasi harian kepada 60,000 dos hingga 70,000 dos sehari seterusnya mencapai sasaran 60 peratus penduduk divaksin menjelang akhir bulan ini.

“Kita masih lagi berpegang kepada sasaran 60 peratus penduduk dewasa Sabah akan lengkap vaksinasi pada akhir September ini dan 80 peratus penduduk dewasa Sabah akan lengkap vaksinasi pada akhir Oktober seperti sasaran nilai ambang ditetapkan.

“Bagi mencapai sasaran tersebut kita akan perbanyakan program ‘mobile outreach’. Kerajaan negeri (Sabah) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan merancang lebih 130 program outreach dalam bulan September dan Oktober ini,” katanya pada sidang media di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Terdahulu beliau dan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor mempengerusikan bersama Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) Peringkat Negeri Sabah di sini.

Khairy berkata setelah mencapai kadar 80 peratus penduduk dewasa divaksin pada Oktober ini, Sabah boleh memulakan program pemberian vaksin COVID-19 kepada golongan remaja di negeri ini, bagaimanapun ia bergantung kepada pencapaian vaksinasi semasa.

Ditanya tentang keperluan tinggi vaksin COVID-19 dos tunggal CanSino terutama untuk penduduk di pedalaman Sabah, beliau berkata Malaysia akan menerima 300,000 dos vaksin itu pada bulan ini dan Sabah akan menerima agihan sepatutnya daripada jumlah tersebut.

“Mengikut jadual kita akan terima untuk seluruh Malaysia 100,000 dos (vaksin CanSino) minggu depan dan 200,000 dos lagi pada akhir bulan ini, jumlah 300,000 dos ini disebabkan bekalan tidak mencukupi di peringkat antarabangsa.

“Pada Oktober kita jangka lebih banyak lagi (vaksin CanSino sampai) sudah pasti Sabah akan menjadi antara negeri keutamaan untuk vaksin dos tunggal ini,” katanya.

Beliau berkata bagi membantu Sabah menghadapi pandemik COVID-19, Kementerian Kesihatan akan menghantar peralatan perubatan tambahan terdiri daripada 480 unit silinder oksigen, 24 buah kotak alat kawal atur oksigen dan lima kotak ubat-ubatan COVID-19 yang dijadual tiba esok.

Khairy berkata Kementerian Kesihatan juga telah menyediakan unit rawatan rapi modular dengan kapasiti 10 katil di Hospital Tawau dan beliau akan melawat tapak bagi menyediakan hospital medan tambahan di Tawau esok.

Kementerian juga kata beliau, memperuntukkan 29 buah ambulans tambahan untuk keperluan hospital-hospital di Sabah, dan akan membuat mobilisasi tenaga kerja perubatan ke Sabah dengan 97 daripada 150 pegawai lantikan tetap telah diarahkan melapor diri di Sabah pada 2 Ogos dan 1 Sept lepas.

“Seramai 50 pegawai perubatan tambahan akan ditawarkan pelantikan tetap bermula 13 Sept, baki keperluan pegawai perubatan akan ditampung pengisian pegawai perubatan siswazah, dan 78 penolong pegawai perubatan yang dimobilisasi ke Selangor akan pulang ke Sabah selewat-lewatnya akhir minggu ini.

“Buat masa ini juga kapasiti ICU (Unit Rawatan Rapi) di Sabah pada paras 90 peratus dan kapasiti ventilator 46 peratus. Saya akan bincang unjuran negeri Sabah untuk beberapa minggu nanti bagi memastikan bahawa kapasiti ICU, keperluan oksigen mencukupi,” katanya.

Mengulas mengenai peningkatan kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID), Khairy berkata sebahagian besar daripada kes BID akibat COVID-19 di negara ini berlaku dalam kalangan mereka yang tidak menjalani ujian saringan.

“Kita nak pastikan mereka di bawah jagaan fasiliti kesihatan sama ada Pejabat Kesihatan Daerah atau klinik swasta, bila diletak bawah jagaan dan kuarantin di rumah pemantauan itu dibuat, bila didapati mereka ada gejala lebih serius kita boleh buat intervensi atau minta datang ke hospital,” katanya.

Selain itu, beliau berkata hubungan komuniti yang kukuh juga penting dalam menurunkan kadar BID dengan anggota masyarakat terutama pemimpin tempatan perlu memantau jiran tetangga yang positif COVID-19 dan memastikan mereka yang mempunyai gejala supaya membuat ujian saringan dengan segera.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

93  −    =  89