19 murid tadika hasilkan kad ucapan istimewa untuk ‘frontliners’

 19 murid tadika hasilkan kad ucapan istimewa untuk ‘frontliners’

Guru pembimbing Tadika Perpaduan Taman Saujana B menunjukkan kad istimewa yang merupakan ucapan kepada ‘frontliners’ pada sesi pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega MidValley SouthKey, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Seramai 19 murid Tadika Perpaduan Taman Saujana B, Pontian menghasilkan kad ucapan istimewa sempena Hari Kebangsaan.

Guru Pembimbing tadika berkenaan, Suhila Azalina Awang Kechik berkata, idea itu tercetus sempena Hari Kebangsaan dan disiapkan dalam tempoh tiga hari oleh anak-anak muridnya.

“Kita beri bahan dan anak-anak ini buat di rumah masing-masing mengikut kreativiti mereka sebelum dihantar kepada guru untuk dikumpulkan.

“Maka terhasillah kad besar ini sebagai tanda terima kasih kepada ‘frontliners’ negara,” katanya selepas sesi pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega MidValley Southkey, di sini hari ini.

Sementara itu, pembukaan PPV berkenaan dimulakan dengan semangat kemerdekaan oleh barisan sukarelawan dan petugas dengan nyanyian dan tarian zapin.

Lebih 100 petugas barisan hadapan termasuk sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (myVAC) bersemangat menyanyikan lagu Negaraku, Bangsa Johor dan Tanggal 31.

Penyelaras PPV Mid Valley Southkey, Haliza Khalid berkata, program yang unik itu merupakan satu bentuk penghargaan dan kejutan buat penerima vaksin yang hadir sempena Hari Kebangsaaan.

“Ini sebagai tanda kami selaku petugas barisan hadapan menzahirkan rasa patriotik sempena Kemerdekaan Negara ke-64, hari ini.

“Kita tetap berusaha menyemarakkan sambutan kemerdekaan ini meskipun dalam situasi sedang mendepani cabaran pandemik COVID-19.

“Perjuangan kami di PPV ini adalah untuk memberi vaksin kepada seberapa ramai individu agar dapat mencapai sasaran komuniti berkelompok yang ditetapkan,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  31  =  33