19 ditahan langgar SOP, berhibur dalam premis

 19 ditahan langgar SOP, berhibur dalam premis

Polis Johor Bahru Selatan menahan 19 individu kerana melanggar SOP PPN terlibat dalam aktiviti hiburan di sebuah premis di Taman Pelangi, kelmarin.

JOHOR BAHRU, 13 Sept — Biarpun sudah sering kali diberikan amaran namun masih ada lagi individu yang tetap berdegil mengadakan program hiburan dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dalam serbuan yang dilakukan di sebuah premis di Taman Pelangi, di sini, kelmarin, seramai 19 individu yang sedang leka berhibur dicekup polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, kesemua suspek ditahan dalam Ops Noda pada jam 9 malam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah D7, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Balai Polis Taman Pelangi.

Kesemua suspek berusia antara 30 hingga 40 tahun melibatkan 14 lelaki dan empat wanita tempatan serta seorang wanita warga China.

“Hasil pemeriksaan, polis menahan 19 individu di dalam premis itu kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pusat hiburan dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu PPN.

“Penjaga premis dikenakan kompaun RM25,000 dan dibebaskan dengan jaminan polis manakala 17 warga tempatan dikenakan kompaun masing-masing RM5,000 kerana tidak mengamalkan penjarakan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Padzli berkata, seorang wanita warganegara China itu dikenakan tahanan reman selama 14 hari.

Kes tersebut akan disiasat mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (PPDPPB 2021).

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  3  =  2