18 tahun boleh jadi YB

 18 tahun boleh jadi YB

Oleh NURMAN NASYRIQ

KOTA ISKANDAR – Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini meluluskan Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan (Pindaan) 2021 bagi menurunkan had umur seseorang warganegara yang layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Pindaan terhadap Fasal 16 Bahagian 2, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 itu diluluskan selepas dibahas oleh empat ADUN, iaitu masing-masing dua bagi pihak kerajaan dan pembangkang pada sesi Mesyuarat bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-14, di sini.

Hasni Mohammad semasa membawa usul pindaan Fasal 16 Bahagian Kedua Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan 1895 yang menurunkan had umur seseorang layak menjadi wakil rakyat daripada 21 tahun kepada 18 tahun pada sidang DUN Johor, hari ini

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad ketika membawa rundingan itu berkata, pindaan Fasal 16 Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 adalah bermaksud untuk menurunkan had umur seseorang warganegara yang layak untuk menjadi Ahli Dewan Negeri daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun.

“Pindaan had umur seseorang warganegara yang layak untuk menjadi Ahli Dewan Negeri daripada 21 tahun kepada 18 tahun ini telah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 15 Disember 2021.

“Berdasarkan peruntukan ini, setiap warganegara yang berumur 21 tahun yang bermastautin di dalam Negeri Johor layak menjadi seorang Ahli Dewan Negeri, melainkan orang tersebut tertegah dan tidak mencukupi syarat menjadi Ahli Dewan,” jelasnya.

Pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1985 (Pindaan) 2021 diluluskan sebulat suara pada sidang DUN Johor, hari ini

Menteri Besar berkata, Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah meluluskan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi melaksanakan pindaan kelayakan umur Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negeri kepada 18 tahun menerusi Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 [Akta A1603] yang telah diwartakan pada 10 September 2019.

“Justeru, dengan itu adalah dipohon agar Rang Undang-Undang yang dibentang ini diluluskan oleh Dewan Negeri bagi membolehkan pindaan terhadap Fasal 16 Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 mengenai had umur kelayakan 21 tahun dipinda kepada 18 tahun bagi Ahli Dewan Negeri,” katanya.

Empat ADUN yang membahaskan usul pindaan berkenaan ialah dua wakil rakyat kerajaan iaitu ADUN Panti, Hahasrin Hashim dan ADUN Tenggaroh, K. Raven Kumar, manakala dua wakil rakyat pembangkang ialah ADUN Stulang, Andrew Chen Kah Eng dan ADUN Pulai Sebatang, Muhammad Taqiuddin Cheman.

Sementara itu, Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat memaklumkan pindaan itu akan berkuat kuasa menerusi pemberitahuan dalam warta.


“Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021. Dan Enakmen ini hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri menerusi pemberitahuan dalam warta,” katanya.

Beliau kemudiannya menangguhkan persidangan Dewan Negeri ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak-ENDS

Tun Puteh Wanti

sangratu@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

54  −    =  46