18 ahli sindiket penipuan online ditahan

 18 ahli sindiket penipuan online ditahan

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 9 Mac : Seramai 18 ahli sindiket penipuan dalam talian kempunan menikmati gaji pertama berjumlah RM2,500 apabila dicekup dalam Ops Puyuh dalam beberapa serbuan di sekitar daerah ini, Ahad lalu.

Mereka yang berusia antara 15 hingga 35 tahun itu turut berputih mata apabila tidak sempat menerima komisen 5 peratus untuk setiap penipuan yang berjaya dilakukan walaupun sudah berjaya mendapatkan ‘pelanggan’.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mereka semua termasuk remaja berusia 15 tahun itu ditahan dalam serbuan ke atas rumah di Kempas dan Setia Indah di sini, antara jam 4.15 petang hingga 10 malam.

Ayob Khan menunjukkan barang yang dirampas dalam Ops Puyuh pada sidang media di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.

Dalam serbuan itu, 18 individu melibatkan 15 lelaki dan tiga wanita ditahan. Polis turut merampas 60 telefon bimbit pelbagai jenama, 13 buku nota mengandungi butiran nombor telefon mangsa serta skrip perbualan dan 17 kad ATM pelbagai jenis bank.

“Sindiket ini dipercayai baharu mula beroperasi awal bulan ini dan semua suspek ditahan tidak mengenali dan tidak pernah berjumpa dengan ketua sindiket,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, semua suspek direkrut menerusi satu iklan kerja dalam laman Facebook yang menawarkan gaji sebanyak RM2,500 sebulan dan 5 peratus komisen bagi setiap tugas yang dilaksanakan.

“Modus operandi sindiket ini adalah menyamar sebagai kenalan seperti ahli keluarga, adik-beradik dan rakan menerusi panggilan telefon dan kiriman mesej untuk meminjam wang daripada mangsa.

“Mangsa hanya menyedari ditipu dan mengalami kerugian selepas membuat semakan semula dengan kenalan berkenaan.

“Jumlah mangsa dan kerugian membabitkan sindiket masih dalam siasatan,” katanya.

Semua suspek kini ditahan reman antara satu hingga empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

80  −    =  76