• Monday, 21 June 2021, 2:21 am

17 individu kena kompaun RM25,500 sepanjang PKPD di Temerloh

 17 individu kena kompaun RM25,500 sepanjang PKPD di Temerloh

Oleh Mohd Fikri Mie

TEMERLOH, 4 Jun — Polis telah mengeluarkan 17 kompaun bernilai RM25,500 dalam tempoh enam hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua mukim di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, kompaun yang dikeluarkan pada 28 Mei hingga 2 Jun itu membabitkan kesalahan engkar prosedur operasi standard (SOP) dalam kawasan PKPD.

“Seramai 11 orang dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka manakala enam individu lagi dikenakan kompaun kerana tidak mengimbas kod QR MySejahtera.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa dan berada di dalam rumah dengan mengehadkan pergerakan luar jika tiada urusan penting,” katanya, di sini hari ini.

Mohd Yusri berkata, PKPD Mukim Perak dan Mukim Bangau di sini yang dilaksanakan bermula 28 Mei hingga 10 Jun depan membabitkan kira-kira 68,700 orang penduduk.

Katanya, dalam memastikan kawalan dan pemantauan dapat dilaksanakan dengan baik pihak polis telah membuka tujuh Sekatan Jalan Raya (SJR) selain menambah pasukan pemantau polis.

“Sehingga kini pelaksanaan PKPD di kawasan ini berjalan lancar dan petugas SJR diarah melakukan pemeriksaan yang ketat terhadap kebenaran pergerakan kenderaan yang masuk.
“Setakat ini tahap pematuhan orang ramai adalah sebanyak 97 peratus namun masih terdapat segelintir penduduk yang masih berdegil terutama golongan remaja yang merayau-rayau di dalam kawasan taman perumahan tanpa tujuan,” katanya.

Tambahnya lagi, pada masa ini pihak polis telah mengenalpasti 12 laluan tikus ke kawasan Mukim Perak dan Mukim Bangau yang dilaksanakan PKPD itu.

Katanya, sebanyak sembilan jalan tikus telah dipasang penghadang konkrit dan kawat duri manakala tiga laluan lagi yang baru dikenalpasti akan dilakukan penutupan segera.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *