169 nelayan Vietnam diberkas di perairan Pahang

 169 nelayan Vietnam diberkas di perairan Pahang

Bot nelayan Vietnam ditahan Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga ketika menangkap ikan diperairan Kuala Pahang, Mac lalu. (Gambar ihsan Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga).

Oleh Mohd Fikri Mie

KUANTAN, 27 April – Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, di sini menahan 160 nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negeri ini menggunakan 13 bot menangkap ikan dan sotong sepanjang 2019 hingga kini.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner (ACP) Norzaid Muhammad Said berkata, penahanan itu hasil beberapa operasi dalam usaha memastikan perairan negeri ini terus bebas daripada nelayan asing.

Menurutnya, tahun lalu pihaknya tidak terbabit dengan penangkapan nelayan asing sebaliknya lebih kepada operasi mengusir mereka berikutan wabak COVID-19 yang melanda negara.

Katanya, turut terbabit operasi mengusir itu ialah Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Dalam tempoh tiga bulan tahun ini kami menahan sembilan nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negeri ini dengan dua bot bulan lalu ditahan di kawasan 39 batu nautika perairan Kuala Pahang pada Ops Naga Barat.

“Nilai rampasan bot termasuk pelbagai peralatan menangkap serta mengesan ikan lebih RM900,000.Bot
itu kini ditempatkan di Jeti Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga,” katanya di sini.

Beliau menambah, pihaknya
memandang serius perbuatan nelayan asing menceroboh perairan negeri ini dengan tujuan menangkap pelbagai hasil laut.

Norzaid berkata, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 melakukan aktiviti menangkap ikan dalam kawasan perairan negara ini tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

4  +    =  5