160 gajah di 5 laluan hutan, 4 lintasan jalan di Johor

 160 gajah di 5 laluan hutan, 4 lintasan jalan di Johor

JOHOR BAHRU — Lima laluan utama dalam hutan dan empat lintasan utama  melibatkan lima kumpulan gajah di Jalan Kota Tinggi-Mersing, demikian yang dikenal pasti oleh Jabatan PERHILITAN Johor berhubung pergerakan kumpulan gajah liar di negeri ini.

Setakat ini lima kumpulan gajah yang dikenal pasti berdasarkan nama lokasi ialah Panti dengan  mengandungi 30 hingga 40 ekor gajah, Taman Negeri (40-45), Jemaluang (20-30), Bandar Tenggara (25-30) dan Labis (5-15).

Walaupun jumlah sebenar laluan gajah ini tidak diketahui namun menerusi pemasangan kolar satelit pada gajah tertentu dalam kumpulan itu mendapati sekurang-kurangnya lima laluan utama dikenal pasti. Ia melibatkan kawasan sekitar Taman Negara Endau-Rompin, Kahang, Jemaluang-Tenggaroh, sempadan Johor-Pahang merentasi Sungai Endau serta sekitar daerah Kota Tinggi.

Pengarah PERHILITAN Negeri Johor, Salman Saaban

Pengarah PERHILITAN Negeri Johor, Salman Saaban berkata, jarak laluan itu berbeza-beza dengan jarak di antara 25 hingga 100 kilometer. Sekjurang-kurangnya 15 kampung serta 17 ladang menjadi lokasi yang terlibat dan kerap didatangi haiwan itu.

Beliau berkata, lokasi konflik utama pula melibatkan sekurang-kurangnya 30 kampung dan tanah rancangan Felda manakala lima kumpulan gajah tersebut dianggarkan di antara 120 hingga 160 ekor.

“Setakat ini, beberapa lokasi utama lintasan gajah di sepanjang Jalan Kota Tinggi-Mersing iaitu Batu 6, Batu 8, Batu 13 dan Batu 21. PERHILITAN sedang berbincang dengan Pejabat Daerah Kota Tinggi dan Jabatan Kerja Raya Negeri bagi memasang lampu-lampu jalan di sepanjang hotspot lintasan gajah tersebut,” katanya kepada Wacana.my.

Menurutnya, kumpulan gajah tersebut berasal dari hutan yang telah diteroka untuk dijadikan ladang pertanian. Jadi, gajah-gajah yang bergerak dalam kawasan pertanian itu sebenarnya menggunakan laluan asal mereka (traditional route) sambil mencari makan.

Katanya, gajah adalah haiwan yang mempunyai memori yang kuat dan boleh mengingati kejadian atau manusia yang mengancam ataupun menyelamatkannya. Gajah juga masih boleh mengingati laluannya walaupun keadaan telah berubah disebabkan aktiviti manusia seperti hutan kawasan keliarannya yang telah bertukar menjadi ladang.

Satu operasi menangkah gajah liar yang menceroboh ladang kelapa sawit dengan menggunakan gajah denak.

Salman berkata, purata seekor gajah memerlukan makanan sebanyak 150 hingga 200 kilogram serta kira-kira 200 liter air minuman setiap hari.

“Gajah adalah haiwan herbivor yang makan pelbagai jenis tumbuhan, buah-buahan, kulit kayu, rumput, buluh dan sebagainya yang merangkumi sekurang-kurangnya 112 spesies. Bagaimanapun tumbuhan palma yang berumbut seperti kelapa, pisang dan kelapa sawit menjadi kegemaran utama gajah,” katanya.

Menurutnya, gajah aktif mencari makan pada waktu malam dan keperluan mencari makanan yang banyak menyebabkan ia sentiasa bergerak antara 17 hingga 18 jam sehari. Gajah kurang aktif pada waktu tengah hari dan berteduh di bawah pokok ketika cuaca panas.

Beliau juga tidak menafikan gajah di negeri ini terdedah kepada ancaman pemburuan haram kerana ia sering bergerak memasuki kawasan ladang atau kampung yang mudah menjadi sasaran pemburu haram.

Bagaimanapun setakat ini, belum ada laporan atau maklumat yang diterima mengenai kejadian ancaman tersebut.

“PERHILITAN sering menjalankan operasi penguatkuasaan bagi memastikan usaha atau percubaan memburu gajah dipatahkan segera dengan kerjasama pihak polis terutama menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK),” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

35  −  28  =