16 geng kongsi gelap dicekup

 16 geng kongsi gelap dicekup

JOHOR BAHRU – Seramai 16 individu dipercayai ahli kongsi gelap daripada beberapa pertubuhan ditahan dalam Op Cahaya yang dijalankan di seluruh negeri sejak 28 Oktober hingga 10 November lalu.

Mereka antara 234 individu yang ditahan dalam 1,348 serbuan yang dijalankan di premis seperti pusat-pusat hiburan, pusat urut dan lain-lain tempat.

Kesemua mereka yang berusia antara 17 hingga 50 tahun itu dikenal pasti berdasarkan tatu dan lambang geng yang terdapat pada badan masing-masing.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi berkenaan dilancarkan bertujuan untuk mengawasi dan memantau keadaan sepanjang musim perayaan lalu agar tiada gangguan dan ancaman berlaku.

“Sementara itu, 14 lagi individu yang juga merupakan ahli kongsi gelap terlibat dalam dua insiden pergaduhan berasingan di Kulai dan Seri Alam, tengah malam kelmarin turut ditahan polis.

“Pergaduhan tersebut dipercayai berpunca akibat pertengkaran sesama mereka ketika berada di bawah pengaruh alkohol. Kesemua suspek lelaki tempatan yang berusia antara 21 hingga 40 tahun itu ditahan hasil maklumat dan risikan awam,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Kesemua yang ditahan terdiri daripada lima individu yang menganggotai Kumpulan 36, empat ahli Kumpulan 21 dan lima daripada Kumpulan 04.

Ayob Khan menunjukkan gambar ahli kongsi gelap yang ditahan dalam Op Cahaya dalam sidang media di IPK Johor, hari ini.

Mereka kini direman hingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, manakala 16 individu yang ditahan lebih awal turut disiasat mengikut Seksyen 43 dan direman antara dua hingga empat hari dari tarikh tangkapan.

Dalam pada itu, Ayob Khan memaklumkan, sejak Januari hingga semalam, seramai 70 ahli kongsi gelap terdiri daripada tujuh geng berjaya ditahan polis.

“Pecahan yang ditahan melibatkan Geng 21 seramai 29 orang, Geng 36 (16), Geng 04 (9), Geng 08 (8) Hong Hong San (2), Ang Kong Kia (1) dan Ngo Sek Kee (5).

“Seramai 18 daripada mereka dikenakan perintah tahanan selama dua tahun, manakala dua lagi dikenakan perintah pengawasan dua tahun,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

7  +  1  =