15 pemandu pelancong gajah hilang sumber pendapatan

 15 pemandu pelancong gajah hilang sumber pendapatan

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah,  Lanchang kini ditutup sementara menyebabkan pemandu pelancong hilang sumber pendapatan. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

TEMERLOH, 18 Jun — Pendapatan 15 pemandu pelancong yang berkhidmat di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang kini terjejas teruk berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang menjejaskan sektor pelancongan negara.

Bagi Nor Azmira Hasnan, 30 yang berpengalaman lebih lapan tahun sebagai pemandu pelancong berpendapat rezeki dia dan rakan lain kini seolah terputus berikutan ketiadaan pelancong tempatan dan antarabangsa.

Menurutnya, sebelum ini PKGK Kuala Gandah dibuka untuk pelancong walaupun negara masih dalam PKP namun sejak gelombang kedua COVID-19, PKGK Kuala Gandah yang terkenal dengan aktiviti gajah ditutup sementara oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang.

Nor Azmira Hasnan membantu memberi makan dan membersihkan kandang gajah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Foto WMY/Mohd Fikri Mie

Katanya, apabila PKGK Kuala Gandah ditutup sementara bagi mengelak penularan COVID-19 bermakna sumber pendapatan 15 pemandu pelancong kini terputus.

“Walaupun PKGK Kuala Gandah ditutup sementara kepada pelancong namun saya tetap datang ke PKGK Kuala Gandah untuk melakukan aktiviti sukarela seperti membersih kandang dan memberi makan gajah yang terdapat di situ.

“Hati saya begitu dekat dengan gajah di PKGK Kuala Gandah sebab itu hampir setiap minggu saya datang ke PKGK Kuala Gandah untuk melakukan aktiviti secara sukarela bersama beberapa rakan lain,” katanya.

Beliau berkata, sebagai pemandu pelancong yang bergantung sepenuhnya pada aktiviti pelancongan di PKGK Kuala Gandah dia tidak menyalahkan pada mana-mana pihak apabila PKGK Kuala Gandah ditutup sementara.

Nor Azmira berkata, tindakan menutup sementara PKGK Kuala Gandah untuk kebaikan bersama, sebelum ini pusat pelancongan ini tidak pernah ditutup dalam tempoh yang panjang.

Pemandu pelancong, Nor Azmira Hasnan (kanan) bersama pelancong.Gambar dirakam pada 2019.

Tambahnya lagi, kini kebanyakan pemandu pelancong terpaksa melakukan kerja lain sebagai sumber pendapatan, ada di antara mereka menoreh getah dan pelbagai kerja kampung.

“Sebelum ini bayaran yang dikenakan RM50 bagi setiap kumpulan seramai 10 pelancong namun kini harganya dikurangkan kepada RM30 dan hanya membabitkan tujuh hingga lapan pelancong sahaja dalam satu kumpulan,” katanya.

Rakannya Nurul Hidayah Sjarifuddin, 24 berkata kini terdapat hanya dua pemandu pelancong wanita di
PKGK Kuala Gandah dan selebihnya lelaki membabitkan penduduk setempat termasuk masyarakat Orang Asli.

Katanya, sebelum ini kerajaan negeri dan pusat ada menyalurkan bantuan kewangan bagi meringankan beban mereka yang berkhidmat sebagai pemandu pelancong.

“Saya berharap kerajaan dapat membuka semula sektor pelancongan terutama PKGK Kuala Gandah untuk kepentingan bersama,” katanya yang memang meminati aktiviti bersama pelancong.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

38  −    =  31