15 ‘patung batu’ ciri unik gua KAF

 15 ‘patung batu’ ciri unik gua KAF

Oleh Ama Alias  

GUA MUSANG, 7 Feb: Alam ciptaan Allah SWT sering mengejutkan, unik dan ada kalanya sukar ditafsir atau sukar diterima akal.

Begitu juga di Felda Chiku 2 di sini. Terdapat gua yang menjadi kebanggaan peneroka dan keluarga mereka iaitu Gua Kami Anak Felda (KAF). Dalam gua itu terdapat 15 objek batu berbentuk seperti haiwan, manusia, alat muzik dan perabot.

Hakikatnya, objek itu terhasil dari pembentukan stalaktit dan stalakmit iaitu titisan air gua batu kapur yang mengandungi pelbagai mineral. Proses ribuan tahun itu menghasilkan objek batu seperti ular, katak, cicak, gajah, ikan emas, buaya, penyu, sotong kurita dan tapak kaki kuda.

Selain itu, di lantai gua KAF itu wujud batu seperti rebana, sofa, kasut, keris, patung manusia bentuk askar sedang berperang dan takungan air tujuh tingkat.

Kewujudan objek batu unik itu menggamit pengunjung untuk mengekplorasi dan melihat sendiri binaan alam dalam gua setinggi 90 meter dari aras laut itu.  

Pengerusi KAF Felda Wilayah Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, dek kerana keunikan gua itu, pihaknya dalam proses mewartakannya sebagai tapak warisan dan kawasan pelancongan.

“Kami juga dalam usaha menaik taraf gua ini dan kawasan sekitar bagi menambah keselesaan pengunjung,” katanya kepada wacana.my. Antaranya membina tangga masuk ke dalam gua, memasang papan tanda dan memasang lampu untuk pencahayaan pada objek batu.

Pengunjung Muhafandi Mohamad dan isteri, Vivi Sumanti Ahmad bergambar berlatarbelakangkan batu gergasi membentuk keris

Katanya, surat rasmi telah dihantar kepada FELDA bagi memohon peruntukan untuk mewujudkan kawasan pelancongan eko di situ yang bakal memberi impak ekonomi kepada warga Felda Chiku 2.

Di dalam gua itu juga terdapat ukiran batu berbentuk ‘peta’ seperti menunjukkan kedudukan gua berkeluasan 6 hektar itu. Pengunjung hanya mengambil masa 1 hingga satu jam setengah untuk meneroka gua batu kapur itu yang terletak kira-kira 1 kilometer dari Jalan Gua Musang-Kuala Krai.  Gu aini hanya dibuka kepada orang ramai mulai 17 Oktober 2020 lalu.

Gua ini mempunyai tiga pintu masuk. Namun bahagian yang diteroka terhad pada ruang depan gua yang menempatkan objek batu misteri itu. Selebihnya dalam gua itu masih lagi misteri kerana gelap, licin dan penuh dengan najis kelawar serta mungkin dihuni haiwan berbisa.

Melalui perbualan bersama penduduk, tidak mustahil masih terdapat banyak misteri dan objek batu dalam gua itu.  yang dahulunya dijadikan lokasi penanaman cendawan dan pengumpulan tahi kelawar sebagai baja organik selain gua ini turut dijadikan lokasi bertapa dan perubatan zaman dahulu kala.

Orang ramai meninjau keadaan di dalam gua KAF

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

13  +    =  18