15 mat rempit ditahan pamer aksi berbahaya, berlumba

 15 mat rempit ditahan pamer aksi berbahaya, berlumba

Polis menahan 15 mat rempit kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam Ops Motosikal di Parit Bakong, Senggarang, Batu Pahat, semalam. WMY/Nurman Nasyriq

BATU PAHAT, 28 Jun — Polis menahan 15 mat rempit atas pelbagai kesalahan dalam Ops Motosikal di Parit Bakong, Senggarang, di sini semalam.

Operasi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat itu dilakukan pada jam 6.30 petang.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, operasi dijalankan selepas menerima aduan awam terhadap penunggang motosikal melakukan pelbagai kesalahan dan berlumba di Parit Bakong.

“Aktiviti itu sekali gus mengganggu ketenteraman dan kesejahteraan penduduk di kawasan tersebut.

“Polis berjaya menahan 15 remaja berumur antara 16 hingga 21 tahun. Dua daripada mereka ditangkap di bawah Seksyen 42 Akta
Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987, iaitu menunggang secara melulu dan berbahaya sehingga membahayakan diri dan orang lain,”
katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Seorang daripadanya turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana enggan memberikan kerjasama semasa diperiksa dan
cuba melarikan diri serta menggilis kaki seorang anggota polis.

Sebanyak 58 saman dikeluarkan terhadap mereka atas pelbagai kesalahan.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

12  +    =  19