Azmin nafi kerajaan gagal kawal COVID-19

 Azmin nafi kerajaan gagal kawal COVID-19

JOHOR BAHRU, 18 Jun — Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan gagal mengawal pandemik COVID-19.

Menurut beliau, ini kerana Kementerian Kesihatan berjaya menurunkan kadar kebolehjangkitan (R-naught) COVID-19 dan berlaku penurunan kes jangkitan.

“Kajian dan pengiraan model SEIR (Susceptible, Exposed, Infectious and Removed) dalam menilai kadar kebolehjangkitan, unjuran kes baharu di negara ini pada 14 Jun lalu ialah sebanyak 13,000 kes tetapi kita hanya mencatatkan 4,949 kes.

“Kerajaan mengambil langkah tegas, iaitu daripada 13,000 yang diunjurkan oleh model SEIR, berjaya diturunkan dan sudah tentu ini satu kejayaan bagi mengawal penularan,” katanya selepas meninjau persiapan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bawah Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) COVID-19 di Austin International Convention Centre di sini hari ini.

Sementara itu, Azmin mengakui wujud beberapa kluster tempat kerja dan berdasarkan data yang dikongsi Kementerian Kesihatan, kluster itu termasuk di kilang, syarikat, tapak kerja dan penginapan pekerja.

“Walau bagaimanapun, kita berpendapat langkah yang dilakukan kerajaan dengan melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengurangkan pergerakan dan ini telah ditekan berulang kali oleh KKM bahawa kita harus mengambil tindakan lebih tegas untuk mengawal pergerakan.

“Walaupun kita menyedari bahawa kepentingan nyawa perkara yang amat penting tapi pada masa yang sama, kita perlu melihat keperluan aktiviti tertentu untuk beroperasi dengan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat dan ini penting untuk pastikan kesejahteraan rakyat terjamin,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

25  +    =  27