Lelaki maut langgar lori rosak di lorong kecemasan

 Lelaki maut langgar lori rosak di lorong kecemasan

BATU PAHAT, 17 Jun — Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya melanggar sebuah lori yang rosak di Kilometer 94, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Yong Peng kelmarin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kemalangan pada jam 5 petang itu mengakibatkan Teng He Xun, 24, cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa yang memandu kereta Mercedes-Benz bersama-sama seorang penumpang wanita dari arah Kuala Lumpur ke arah Johor Bahru.

“Apabila sampai di tempat kejadian kereta dipandunya hilang kawalan dan melanggar belakang lori jenis Scania yang rosak di lorong kecemasan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Akibat kemalangan itu, mangsa maut manakala penumpang wanita di tempat duduk depan cedera parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, pemandu lori yang berusia 36 tahun tidak mengalami kecederaan.

Laluan tersebut lurus, namun semasa kejadian hujan dan permukaan jalan licin.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng dengan sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

Komander Operasinya, Penguasa Bomba Kanan II Mohd. Hafiz Othman berkata, pihaknya mengambil masa untuk mengeluarkan mangsa kerana keadaan kereta yang terpelosok di belakang lori berkenaan.

Operasi tersebut tamat pada jam 6.17 petang.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  81  =  86