146 penyu agar bertelur Pantai Cherating

 146 penyu agar bertelur Pantai Cherating

Pengunjung berpeluang melepaskan anak penyu ke laut.

Oleh Mohd Fikri Mie

KUANTAN, 3 April – Sebanyak 146 penyu agar (Chelonia mydas) betina mendarat di sepanjang pesisir Pantai Cherating untuk bertelur sepanjang tahun lalu.

Pendaratan reptilia itu berjaya menghasilkan sebanyak 12,267 telur, namun hanya 6,286 telur sahaja yang menetas dan anak penyu dilepaskan ke laut secara berperingkat oleh kakitangan jabatan.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, Julai mencatat jumlah terbanyak pendaratan penyu iaitu 47 kali yang menghasilkan sebanyak 4,123 telur diikuti Ogos 35 kali (2,872); September 25 kali (2,777); Oktober 16 kali (1,447) dan November 12 kali (916). Pada Disember tidak ada pendaratan penyu dicatat.

“Sepanjang tahun lalu, jabatan tidak menemui penyu karah (Eretmochelys imbricata) mendarat untuk bertelur. Perkara ini amat membimbangkan dan berharap episod sama tidak berlaku tahun ini.

“Hampir setiap malam petugas meronda pantai Cherating di kawasan yang diwartakan untuk mengesan kehadiran penyu,” katanya kepada Wacana.my.

Beliau menambah, tahun lalu seramai 36,923 pelancong tempatan dan luar negara berkunjung ke Pusat Penerangan dan Konservasi Penyu (PPKP) Cherating bagi melihat pameran hidupan laut serta paling ditunggu aktiviti melepaskan anak penyu ke laut bermula 6 petang.

Abdullah berkata, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu namun hampir setiap minggu pelancong datang bersama keluarga termasuk secara rombongan, buktinya seramai 36,923 orang, kemuncak pelancong datang pada Ogos membabitkan seramai 14, 209 orang dan September (5,584).

“Sepanjang 2019 sebanyak 42,162 telur penyu agar dikumpul dan 28,420 menetas serta dilepaskan ke laut, berbanding 12,683 telur dan pada 2018.

“Banyak faktor yang mempengaruhi penyu betina mendarat untuk bertelur antaranya gangguan daripada manusia, cahaya lampu selain persekitaran,” katanya.

Beliau menambah, setiap tahun jabatan mengadakan pelbagai usaha kesedaran di kalangan nelayan terhadap pentingnya mereka bekerjasama untuk memastikan kejadian penyu mati tersangkut pada pukat tidak terus berlaku.

Tahun lalu sebanyak tujuh kes kematian penyu agar dicatat dan 13 kes pada 2019.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

14  −    =  10