143 pelajar positif COVID-19, SSP diarahkan tutup

 143 pelajar positif COVID-19, SSP diarahkan tutup

PUTRAJAYA: Jumlah warga Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya yang disahkan positif Covid-19 terus meningkat apabila ia menjangkiti seramai 143 orang melibatkan 114 pelajar, 19 guru dan 10 kakitangan dengan kadar serangan 14.7 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu dikesan selepas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang melakukan saringan sejak 26 November lalu sehingga hari ini melibatkan 973 warga sekolah.

Katanya, daripada 143 kes, seramai 106 kes dalam kategori satu manakala 35 kes yang lain adalah kategori 2A serta dua kes pula dalam kategori 2B melibatkan masing-masing seorang guru dan seorang murid.

“Kesemua kes tersebut dalam keadaan stabil manakala, pelajar yang positif Covid-19 dan seorang guru telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) untuk rawatan dan pemantauan lanjut.

“Seramai 700 orang kontak rapat melibatkan 603 pelajar, 59 guru dan 38 kakitangan telah dikenal pasti. Kontak rapat dalam kalangan pelajar dimasukkan ke stesen kuarantin iaitu di Institut Aminuddin Baki (IAB) dan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) manakala kontak rapat dalam kalangan guru dan kakitangan dikuarantin di rumah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan memetik laporan Utusan Malaysia.

Noor Hisham berkata, sekolah itu juga telah diarahkan ditutup sementara di bawah Seksyen 18 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] bagi tujuan pembersihan dan disinfeksi.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

1  +  6  =