14 PATI Indonesia baru mendarat dicekup

 14 PATI Indonesia baru mendarat dicekup

KOTA TINGGI, 24 Nov – Seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia yang baru mendarat di perairan Teluk Punggai, dekat sini awal pagi ini tidak sempat menuju ke destinasi masing-masing apabila ditahan Tentera Darat Malaysia (TDM). 

Menurut kenyataan Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), kehadiran mereka pada mulanya dikesan Radar Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) yang menyedari pergerakan bot mencurigakan menghala ke arah Teluk Punggai pada jam 2 pagi.

“Kira-kira jam 3.30 pagi, anggota petugas pos pemerhati pula mengesan pergerakan bot yang mencurigakan di perairan tersebut serta mengesan kelibat orang sedang menuruni bot menuju ke arah pantai.

“Hasil serbuan yang dilakukan pada jam 4.40 pagi berjaya menahan dan membuat penangkapan ke atas sembilan PATI dipercayai baru saja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,” menurut kenyataan tersebut, hari ini.

TDM menahan 14 PATI warganegara Indonesia yang baru mendarat di perairan Teluk Punggai, Kota Tinggi, hari ini.

Pasukan Quick Reaction Force (QRF) bersama-sama skuad Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) kemudian membuat penjejakan untuk mencari kemungkinan saki-baki PATI yang masih bersembunyi.

Pada jam 9 pagi pasukan QRF berjaya menangkap lima lagi PATI berhampiran kawasan tangkapan pertama yang juga baru tiba ke negara ini.

Seramai 14 PATI tersebut terdiri daripada lapan lelaki dan enam wanita warga Indonesia berusia antara 20 hingga 45 tahun. 

Kesemua mereka kemudiannya menjalani saringan COVID-19 di Pos Tanjung Sepang dan dua daripadanya didapati positif.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *