14 lokaliti di empat negeri dikenakan PKPD

 14 lokaliti di empat negeri dikenakan PKPD

Ladang Sime Darby Bukit Puteri, Mukim Batu Yon 1 di Lipis, Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 6 November sehingga 19 November 2021. FOTO Hiasan

KUALA LUMPUR, 27 Ogos — Sebanyak 14 lokaliti termasuk tujuh di Terengganu dan masing-masing tiga di Kelantan dan Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Sabtu ini hingga 10 September, manakala satu lokaliti di Johor iaitu Kampung Orang Asli Simpang Arang, di Johor Bahru dikenakan PKPD bermula Jumaat hingga 9 September.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, PKPD di Terengganu melibatkan Bandar Paka; Gong Gemia; Cacar Baru; Limbong; Kuala Paka; Taman Indah Permai dan Telaga Mas di Dungun.

“Tiga lokaliti di Kelantan ialah Kampung Gerong, Mukim Sungai Pinang; Kampung Baru Nelayan, Mukim Tumpat dan Kampung Talak, Mukim Jal Besar di Tumpat.

“Lokaliti di Sabah pula adalah Kampung Sungai Imam, Tawau; Kampung Kapakaan, Keningau dan Kampung Paris 3, Kinabatangan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, PKPD di Taman Puri Warisan, Kota Kinabalu di Sabah dan Kuarters Pekerja Sri Datai Mining Sdn Bhd, Mukah di Sarawak yang sepatutnya berakhir Jumaat akan dilanjutkan sehingga 10 September ini.

Sementara itu, PKPD di lima lokaliti di Sabah dan Kelantan, dua di Pahang serta satu di Kedah iaitu Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, Baling ditamatkan pada Jumaat seperti dijadualkan.

Lokaliti di Sabah melibatkan Kampung Gambaron 2, Telupid; Kilang dan Kuarters Pekerja Bumi Timber Sdn Bhd, Batu 27 dan Perusahaan dan Kuarters Pekerja Kosinar Sdn Bhd, Batu 28, Jalan Sook di Keningau; Kampung Pengiran, Sipitang dan Kampung Wokok Kinuta, Kota Belud.

Beliau berkata, lokaliti di Kelantan yang ditamatkan pelaksanaan PKPD pada Jumaat ialah Kampung Chenerai; Kampung Lubok Kawah; Kampung Pohon Tanjong; Kampung Pak Jak dan Kampung Landar (sebahagian kampung) di Pasir Mas.

Katanya, lokaliti di Pahang pula membabitkan Apartment Amber Court dan Tapak Bina Gran lon Deleman, Genting Highlands, Bentong dan Kampung Gadak di Rompin.

Selain itu, PKPD di Tapak Bina Spanish Garden, Kinta di Perak pula ditamatkan pada Jumaat, lebih awal daripada yang dijadualkan pada 30 Ogos.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

53  −  49  =