14 ditahan, 305 saman dikeluar dalam Ops Mabuk, Ops Samseng Jalanan

 14 ditahan, 305 saman dikeluar dalam Ops Mabuk, Ops Samseng Jalanan

Seramai 14 individu ditahan dalam Ops Mabuk dan Ops Samseng Jalanan yang diadakan secara serentak di Johor, awal pagi tadi.

JOHOR BAHRU, 31 Ogos — Polis Johor menahan seramai 14 individu dalam Ops Mabuk dan Ops Samseng Jalanan yang diadakan serentak di seluruh negeri ini awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kontinjen Johor, Superintenden M. Kumarasan berkata, dalam operasi itu, polis turut mengeluarkan 305 saman atas pelbagai kesalahan.

Katanya, Ops Mabuk dan Ops Samseng Jalanan merupakan fokus utama JSPT Johor bagi mengambil tindakan tegas terhadap ‘kaki mabuk’ dan ‘kaki rempit’ yang tidak serik dan berterusan melanggar peraturan dan undang-undang.

Hasil operasi yang dijalankan menerusi sekatan jalan raya (SJR) di lokasi yang dirancang telah berjaya menahan lima individu berusia antara 30 hingga 52 tahun atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Bagi Ops Samseng Jalanan, hasil maklumat dan risikan telah berjaya menahan sembilan individu yang berumur antara 16 hingga 20 tahun yang leka melakukan aksi-aksi bahaya dan lagak ngeri di jalan awam.

“Tindakan berbahaya yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan orang awam seperti mana  di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumarasan berkata, dalam operasi itu juga, sebanyak 28 individu dikenakan tindakan kompaun di bawah Kesalahan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

32  +    =  38