138 pelajar orang asli terima vaksin di Pekan

 138 pelajar orang asli terima vaksin di Pekan

Azrol Zaidi menerima vaksin di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad.

PEKAN, 22 Sept — Seramai 138 pelajar orang asli daerah ini layak menerima vaksin pada Program Imunisasi COVID-19 Remaja selama empat hari yang bermula kelmarin di 10 Pusat Pemberian Vaksin (PPV), di sini.

Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, Mohd Razali Mustafar berkata, mereka terdiri daripada pelajar lapan sekolah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai teramai dengan 60 pelajar orang asli.

Menurutnya, seramai 4,171 pelajar tingkatan empat, lima dan enam yang belajar di 16 sekolah menengah termasuk tiga sekolah agama negeri dan satu Maktab Rendah Sains Mara di daerah layak menerima vaksinasi.

“Saya dapati sambutan yang diterima amat menggalakan, pelajar orang asli dan Melayu dilihat datang ke PPV bersama ibu bapa bagi mendapatkan penerangan seterusnya persetujuan.

“Pegawai PPD Pekan dan guru sekolah terbabit memantau di semua PPV bagi melancarkan perjalanan pemberian vaksin COVID-19,” katanya, di sini semalam.

Menurut pelajar orang asli, Azrol Zaidi Lau Ching Kim @ Akim, 17, dia rasa bertuah apabila berpeluang menerima vaksin COVID-19 yang akan memberi peluang sesi persekolahan dapat berjalan seperti sebelum ini.

Dia yang belajar di SMK Tengku Abdullah berkata, sudah lama sekolah ditutup disebabkan COVID-19, apabila selesai pemberian vaksin nanti diharapkan pendidikan di sekolah menengah dapat beroperasi semula.

“Keluarga saya semua sudah menerima vaksinasi, penduduk Kampung Permatang Pauh, di sini juga sudah ramai menerima vaksin yang disediakan kerajaan.

“Selepas menerima vaksin peluang dijangkiti COVID-19 lebih kurang berbanding tanpa vaksin,” kata anak bongsu daripada lima beradik.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *