131,281 murid Tahap Satu di Johor berdepan masalah 3M

 131,281 murid Tahap Satu di Johor berdepan masalah 3M

Mazlan Bujang (tengah) melancarkan Program Penjana KPT Cap@ Johor di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Seramai 131,281 murid Tahap Satu di Johor menghadapi masalah menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang berkata, jumlah tersebut melibatkan 20 peratus.

Menurutnya, pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak Mac tahun lalu menyebabkan sesi pembelajaran dan pengajaran secara bersemuka terlalu singkat sehingga menjejaskan penguasaan 3M.

“Kemahiran 3M merupakan aspek penting yang perlu diberi penekanan kepada murid pada Tahap Satu, membabitkan tahun satu, dua dan tiga.

“Justeru, kerajaan negeri telah merangka satu program khas, iaitu Didik Johor dengan peruntukan sebanyak RM450,000 bagi membantu murid-murid keciciran mengusai kemahiran 3M pada tahun depan,” katanya selepas melancarkan Program Penjana KPT Cap@ Johor di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, di sini hari ini.

Mazlan berkata, Didik Johor akan dibantu oleh guru-guru menerusi kelas tuisyen, iaitu merupakan kelas pemulihan.

Program itu dikelolakan oleh Yayasan Bandaraya Johor Bahru dengan kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

“Program perintis bermula sejak bulan lalu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, PPR Kempas dan PPR Bakar Batu,” katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata, seramai 500 graduan menganggur di negeri ini akan menerima manfaat program Penjana KPT-CAP Negeri Johor.

Menerusi program terbabit, graduan terutama anak Johor dan yang bermastautin di negeri ini akan memperoleh Sijil Perkhidmatan Makanan dan Perkhidmatan Baristar menerusi latihan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Sejak dua minggu lalu pendaftaran sudah dibuka. Kursus sijil antara lapan hingga 15 bulan ini adalah percuma.

“Graduan yang mengikuti kursus ini akan diberi elaun, makan minum dan tempat tinggal selain akan menjalani latihan sambil bekerja di premis McDonald sebagai pelatih pengurusan dan pengendali makanan,” katanya.

Mereka juga akan terus diserap bekerja secara automatik selepas tamat latihan dan program itu bagi membantu graduan menganggur dan masih gagal mendapat pekerjaan berikutan pandemik COVID-19.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  5  =  3