1,266 positif hasil saringan di tiga lokaliti PKPD di Johor

 1,266 positif hasil saringan di tiga lokaliti PKPD di Johor

Petugas Jabatan Kesihatan Johor melakukan ujian saringan di asrama pekerja warga asing dan kawasan Kilang Wah Cens Plastic Industries & Rainbow Metal Sdn Bhd, di Buloh Kasap, Segamat, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU, 1 Julai – Seramai 1,266 orang positif COVID-19 hingga semalam hasil saringan ke atas 3,735 pekerja asing dan penduduk di tiga lokaliti di negeri ini yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, daripada jumlah itu, 488 positif selepas 691 saringan dilakukan di asrama pekerja warga asing di Jalan Rivera, Tanjung Agas, Tangkak.

“Selain itu 700 positif selepas 1,026 saringan dilakukan di asrama pekerja warga asing dan kawasan Kilang Wah Cens Plastic Industries & Rainbow Metal Sdn. Bhd., di Buloh Kasap, Segamat.

“Sementara itu, 78 positif selepas 2,018 saringan dilakukan di Mukim Tenglu, Mersing melibatkan Kampung Tanjung Genting, Kampung Benaung, Kampung Makam dan Kampung Sawah Datok.

“Daripada tiga lokaliti tersebut, terdapat tiga kes kematian dicatatkan, iaitu di asrama pekerja warga asing di Jalan Rivera, Tanjung Agas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, pelaksanaan PKPD di lokaliti terbabit memudahkan Jabatan Kesihatan negeri menjalankan pengesanan kes, saringan dan seterusnya mengawal pergerakan penduduk keluar dari lokaliti itu, sekali gus memutuskan rantaian jangkitan Covid.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga Rabu, kumulatif kluster aktif di Johor berjumlah 105 kluster dan daripada jumlah tersebut, 74 kluster, iaitu 70 peratus adalah penularan dalam industri.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

46  −    =  43