12 jenis sayur percuma untuk komuniti

 12 jenis sayur percuma untuk komuniti

Peserta menanam pokok terung ketika aktiviti dijalankan pada hujung minggu.

PUTRAJAYA, 30 April – Dengan menggunakan konsep kebun dalam taman, sebuah komuniti kakitangan kerajaan di Kuarters Kerajaan di sini bertekad menggunakan ilmu serta pengalaman sedia ada bagi menghidupkan kembali semangat berkebun.

Penerajunya, Mohd Tahir Mohamad berkata, kebun komuniti yang diusahakan pada 2010 itu pada awalnya hanya diusahakan oleh tiga ahli yang aktif dan kian bertambah apabila beliau mengambil alih inisiatif ini .

Beliau berkata,, aktiviti bercucuk tanam kini semakin meriah dengan pertambahan ahli setiap tahun. Kini, komuniti ini mempunyai 40 ahli aktif yang bercucuk tanam setiap pagi Sabtu dan Ahad.

Tahir (tengah) bersama peserta Kebun Komuniti memindahkan tanaman.

“Kami beramai-ramai memulakan aktiviti berkebun seawal jam 8 pagi. Peserta wanita akan menguruskan kerja bercucuk tanam manakala peserta lelaki ditugaskan untuk kerja lebih berat,” katanya pada Wacana.my.

Tahir berkata, kebun yang diusahakan itu turut mendapat sokongan dan bantuan Perbadanan Putrajaya selain agensi kerajaan dan pertanian.

“Perbadanan Putrajaya turut memberikan bantuan input yang diperlukan seperti cangkul, pasu dan tanah serta alatan perkakas lain.

“Alhamdulillah kebun komuniti ini kinki mampu menghasilkan 12 jenis sayur. Antaranya, cili, tomato, sawi, kangkung dan bayam Brazil,” katanya.

Mohd Tahir berkata, kebanyakan hasil tanaman dijual sesama penduduk setempat dengan harga yang lebih murah berbanding di pasar.

“Sayuran ini dibungkus dan dijual sesama ahli komuniti melalui kumpulan Whatsapp. Hasil jualan akan digunakan untuk membeli tanah dan baja serta keperluan lain seperti pasu, cangkul dan peralatan lain.

“Jual beli antara komuniti ini amat digalakkan supaya mereka kenal sesama sendiri selain dapat mengukuhkan harmoni sedia ada,” katanya.

Beliau turut menggalakkan inisiatif kebun komuniti ini diperluaskan ke seluruh negara.

Katanya, sebuah keluarga mampu berjimat anggaran RM50 hingga RM70 sebulan jika mereka menuai hasil tanaman kebun komuniti berbanding beli di pasar.

Menurut Tahir, tuaian daripada kebun komuniti itu turut membantu keluarga yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tahun lalu.

“Disebabkan banyak kedai yang tutup ketika PKP pertama pada Mac 2020, kami mengagih-agihkan hasil tanaman kepada sesiapa sahaja yang  memerlukan.

“Kalau setakat nak cili merah, lebih baik mereka petik di kebun ini daripada membelinya di pasar.

Peserta muda Kebun Komuniti membantu membersihkan kawasan

“Sebelum dilanda COVID-19 pun, kami ikhlas memberi kebenaran kepada sesiapa sahaja untuk memetik hasil tanaman seperti cili dan sayuran dari kebun komuniti ini,” katanya

 Menurut Tahir, pihaknya turut melibatkan anak-anak dari komuniti untuk sama-sama dilibatkan dalam aktiviti bercucuk tanam.

“Setiap hujung minggu, kami akan membawa anak-anak kami untuk menyertai aktiviti menanam. Ilmu dan pengalaman ini harus diajar pada usia muda supaya sekurang-kurangnya mereka nama sayur,” katanya.

Perkumpulan itu turut bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi berkongsi ilmu dan pengalaman mengenai aktiviti penanaman bersama pelajar sekolah rendah.

“Disebabkan kebun ini berkongsi tanah dengan sebuah sekolah rendah, kami mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan pihak PIBG bagi berkongsi ilmu penanaman dengan pelajar sekolah.

“Aktiviti ini harus diperbanyakan kerana dapat mengajar kita untuk mencinta alam sekitar dan berbakti kepada tanah selain mengajar kita erti kesabaran serta berfikir secara kreatif dan kritikal,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

26  −    =  19